21 April 2020


EKPERIMEN DICACATAN PERJALANAN (Sambungan 7)


Perigi Hang Tuah 2 | Another mystical aspect to the Hang Tua… | Flickr

TELAGA HANG TUAH

Perigi ini dipercayai mempunyai kaitan dengan Hang Tuah iaitu seorang pahlawan Melaka yang terkemuka sekali di nusantara ini di zaman pemerintahan Kesultanan Melaka (1398 – 1511)
Hang Tuah dilahirkan di Kampung Duyung ini dan dipercayai telah menggali sendiri perigi ini untuk kegunaannya.
Hang Tuah adalah seorang yang berani, bijak dan pandai bermain senjata.  Justru itu beliau dan rakan-rakannya, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu dilantik sebagai Hulubalang oleh Memanda Tun Perak ( Bendahara Melaka pada penghujung pemerintahan Sultan Muzaffar Shah (1446 – 1458).  Sebagai seorang yang gagah perkasa beliau telah dapat meluaskan pengaruh Kerajaan Melayu Melaka.  Sebagai Laksamana pula beliau telah berjaya mengharumkan nama Melaka ke seluruh Nusantara.  Boleh dikatakan kegemilangan empayar Melaka telah dicapai kerana kebijaksanaan Hang Tuah dan Tun Perak memerintah negeri.
Apabila beliau mangkat (Tun Perak) pada pengujung kurun ke-15 jasad beliau dikebunian di Tanjung Keling dengan penuh kehormatan dari Sultan Muzaffar Shah (1488 – 1528).
Pada asalnya perigi ini adalah kecil tetapi lama-kelamaan ian telah menjadi besar dan dalam.  Ia dikatakan tidak pernah kering walaupun di musim kemarau.  Airnya sentiasa jernih dan dikatakan boleh menyembuhkan pelbagai penyakit.
Kerajaan telah membina kesekitaran perigi ini demi menjaga ia dari runtuh.
Mengikut cerita dua orang pakcik yang kami temui, telaga ini asalnya sedalam 4 kaki sahaja.  Tetapi anehnya tidak pernah kering.  Jadi orang kampong mendalamkannya sehingga sedalam 12 kaki.
“Pakcik, bagaimana orang memastikan bahawa ini perigi Hang Tuah?”
“Begini… mengikut cerita orang tua-tua, asalnya kampong Hang Tuah di kampong Duyung inilah.  Di sinilah Hang Tuah dan rakan-rakannya yang empat itu dibesarkan.”
“Bagaimana orang dapat pastikan?”
“Cerita ini dari turun-temurun.  Semua orang kampong ini pasti dan maklum.  Orang kampong ni ramai yang bermimpi didatangi oleh seorang ‘datuk’  yang menyuruh agar lekukan air yang dikatakan perigi ini dijaga dengan rapi.  Jangan ditimbus atau dibuat tak tentu hala padanya.  Tetapi hendaklah dijagai dan diawasi.  Bila ditanya di dalam mimpi itu, maka datuk itu menerangkan bahawa itulah perigi tinggalan Datuk Hang Tuah”
Begitulah. Dan telaga ini bukanlah sebarang telaga. Telaha ini ada hikmatnya.  Telaga ini disuruh supaya ianya dijagai dengan rapi.  Wasiat mimpi kebanyakkan orang kampong.   Dan semua orang kampong, melalui cerita rakyat mereka (cerita yang dituturkan dari mulut ke mulut dari generasi ke generasi yang kemudian)  mengetahui dan maklum bahawa  Hang Tuah dan empat lagi rakannya yang gemilang sebagai pahlawan Melayu di zaman Kesultanan Melaka silam itu adalah berasal dari kampong Duyung ini.
Pahlawan melayu yang unggul itu pernah belajar di situ, bermain-main di situ semasa mereka masih kecil dan bergalah di sungai di Kampung Duyung itu.
Dan sebagai masyarakat tradisional Melayu yang patuh kepada wasiat, maka perigi ini selalu dijaga turun temurun dan airnya dimanfaatkan untuk bersuci dan bewudhu juga diminum bagi menyembuhkan penyakit.  Begitulah kepercayaan yang kukuh dapat melegakan kesakitan dan perasaan.
Di mana logiknya jika mahu disukat pada sudut pemikiran kita bahawa air ini boleh menyembuhkan beberapa penyakit!
Dapatkah dikatakan ini adalah satu metos masyarakat Kampung Duyung?
Tidak ada yang berani mencabul telaga ini sehingga kini!  Melainkan menghormatinya belaka!  Sebagai pusaka hulubalang Melayu terbilang – Wira bangsa Melayu yang tinggi imejnya di dada setiap bangsa Melayu – Bangsa Malaysia?
Sementara rakanku bercerita dengan seorang lagi pakcik yang berketayap, berbadan gempal, pendek, yang kelihatannya kaki pemalas.   Aku mencedok air perigi Hang Tuah ini (memang ada baldi yang disediakan di situ)  Aku membasuh muka dan tengkuk, membasahkan rambut agar agar sejuknya dapat mententeramkan fikiran.   Oh… Alangkah nyamannya rasa ketika air menyerap ke dalam kulit.
“Datuk Hang Tuah… Izinkan aku meminum seteguk air dari telagamu ini”
Aku mencecap sedikit air ke lidah, merasainya tidak kelat atau masam, aku menghirup seteguk dengan rakus.  Kerongkongku terasa nyaman.  Terasa kerongkongku disimbahi oleh air hikmat ini seolah batu bukit di tengah lereng curam disimbahi air dari puncak yang hijau dan tinggi – pemendapan dari awan yang putih bersih, ditiup bayu lembut selembut sutera.
Seteguk air dari telaga Hang Tuah ini menyegarkan rasa kerana dalam perjalanan kemari tadi terasa juga aku dahaga.
Dari Bandar Melaka kalau mahu ke Kampung Duyung ini kenalah menaiki bas ‘Kampung Katil’ dari stesen bas Melaka.  Bayar saja 40sen dan berhenti di satu persimpangan di mana ada terjumpa sebuah masjid lama.   Turun bas di situ.  Lepas itu ke mana?
“Bagaimana mahu ke Telaga Hang Tuah, pakcik?”  Tanyaku pada konduktor bas.
“ Begini… Awak datang dari mana?” balasmya seolah mahu memulakan penerangan pada mulanya tetapi menukarkan kepada pertanyaan pula kepada kami.
“Oo… kami dari Perak”
“Habis melancung ke mari…” katanya berbaur antara pertanyaan dan jawaban.
Kami mengangguk.  Bas meluncur perlahan kerana jalan di sini agak sempit dan dihalangi oleh lubang-lubang jalan yang tidak dibaiki.
“Begini… apabila jumpa masjid, awak turun.  Tak apalah, saya akan turunkan awak nanti.  Lepas itu awak berjalan kaki terus ke depan.  Oh ya…disimpang itu nanti ada ‘rumah buruk’… jalan saja ke depan lagi… nanti jumpalah awak, atau tanya saja orang kampong di situ.”
Aku menelan setiap penerangan itu dengan berhati-hati.  Setelah faham aku mengangguk dan diam.  Teringat aku semalam ketika aku bersembang dengan Apex pencuci bilik hotel pada waktu larut malam.
“Dan pergi telaga Hang Tuah?”  Tannyanya kepada aku setelah lama aku bersembang dengannya.
“Belum lagi” Balasku. “Tak tahu macam mana nak ke sana” Sambungku lagi.
Seterusnya dia menerangkan…
“Lu pergi naik bas ‘Kampung Katil’ dan jumpa masajid lu petik loceng.  Lu turun dan lu jalan terus depan hingga lu jumpa satu ‘rumah buruk’.  Lu lagi jalan terus depan nanti lu jumpa”
Satu lagi keterangan bagaimana mahu ke Telaga Hang Tuah ini aku dapat dari Apex yang bekerja sebagai kerani hotel ini.  Apa yang menarik perhatianku mahupun keterangan dari Apex pencuci hotel, Apex kerani hotel mahupun keterangan dari konduktor bas ini semua ada menerangkan begini ‘Apabila jumpa satu ‘rumah buruk’ jalan ke depan terus’
Rumah buruk?  Seburuk manakah?  Mengapa ketiga-tiga keterangan ini perlu menyebutkan ‘rumah buruk’ dala ilustrasi mereka?  Oh kalau begitu rumah buruk itu tentu popular agaknya.  Sebagai pedoma pelancung juga.  Kalau begitu siapa yang tinggal di rumah buruk itu?
Bas meluncur dan fikiranku meluncur juga.   Menapak setelah turun dari bas , tak lama jumpalah aku dengan rumah buruk itu.  Inilah rupanya rumah buruk yang diperkatakan oleh mereka yang sememangnya buruk dan robek.  Semasa mahu pulang dari telaga Hang Tuah ini terdengarlag sang ibu mendodoikan anaknya yang sedang mahu lena di rumah yang robek itu.  “Oh rumah yang robek, sebenarnya engkau selalu menjadi pedoman tanpa engkau merasinya!
“Dodoi. Si dodoi.  Dodoi si dodoi.  Tidurlah sayang.. Tidurlah sayang…”  Aku terdengar suara kasih seorang ibu yang membuaikan buaian anaknya supaya si anak manja itu dapat tidur dengan lena.  Hang Tuahkah yang mahu dilelapkan oleh sang ibu itu?
Sesungguhnay benar katamu Tuah.. “Tak Melayu hilang di dunia”
                                    +  +  +  +  +  +  +  +


HANG TUAH – KE MANA MENGHILANG?

Aku menapak ke sumurmu Datuk
Meneguk air jernih yang hikmat
Telaga pusaka yang engkau tinggalkan ini
Zaman berzaman tak kenal kemarau

Di mana lagi warismu di bumi Melaka ini
Di manakah kepahlawananmu kaukuburkan
Atau hikmat batimnu kauhanyutkan ke selat mana

Ke bukitkah. Ke gunungkah
Kau menghilang diri
Tidakkah engkau merasakan
Kami menapak mencarimu
Memohon restu mempelajari langkah.




    Telaga Hang Tuah            
    3.5.85

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Belum bertajuk

  Di sangkak tradisi Dieramnya generasi buat menyambung legasi Menetaslah wajah-wajah baru dari kehangatan kasih