06 April 2020


Artikel 2

5 April 2020 hari ini.  Ahad.  Duduk-duduk di anjung rumah ketika dalam menjalani PKP, bercambah di fikiranku bermacam-macam perkara.  Sebenarnya aku digerakkan oleh beberapa buah fikir yang merasuk ke dalam diri semasa masih di katil sebelum waktu solat subuh lagi.   Rasukan fikir ini menggerakkan aku untuk bingkas bangun dan jam kulihat pukul 5 pagi. 
Seusai solat subuh, aku terus mencapai komputer riba dan terus ke anjung sambil melayan lintasan yang kian bercambah dan mahu tumbuh di batas fikir.
19 hari telah berlalu, arahan PKP dikuatkuasakan oleh pihak yang berwajib bermula dari 18 Mac dan dilanjutkan kepada 14 April.  Sehingga kini aku tidak pasti apakah PKP ini dilanjutkan ke satu tarikh yang lebih lama.  Kemungkinan ini memang dijangkakan oleh kebanyakkan netizen.   Walaubagaimanapun jika ini adalah jalan untuk kebaikan maka aku fikir kita harus akur kerana perancangan ini sudah tentu lahir dari pakar-pakar yang arif dalam bidangnya.  Bukan untuk menyusahkan dan menyekat kehidupan, tetapi untuk menjamin keselamatan dalam kehidupan khususnya kelompok bermasyarakat dan bernegara.
Langit berawan agak pekat pagi ini.  Burung gagak asyik berbunyi garang barangkali menegur kucing yang masih berkeliaran di jalan aspal. Atau memberi isyarat kepada pasangan agar jangan turun mematuk makanan dikhuatiri sang kucing akan mengambil kesempatan.  Burung cak dalam senyap-senyap kulihat turun secara berkumpulan.  
Sebenarnya setiap pagi selepas solat subuh, sudah menjadi rutin aku akan memberi kucing yang bergelandangan di hadapan rumah dan aku juga menebarkan makanan kering yang sama ke aspal bagi habuan burung-burung.  Gagak, burung cak dan malakerbau adalah pelanggan makanan yang aku tabur.  Menariknya mereka tidak pernah bercakaran antara satu dengan lain, tetapi kulihat mereka mematuk rezeki masing-masing.  Kulihat juga mereka mengamalkan, sekali patukan dan sekali mengawasi dari kucing-kucing yang bersidai di tepi jalan.  Kucing-kucing kulihat asyik menjilat bulu setelah menjamah makanan yang aku longgok untuk mereka di lantai simin.
Betapa sukarnya makhluk Allah yang lain mencari rezeki untuk menyambung kehidupan. Sebahagiannya mereka bawa pulang untuk diberikan kepada anak-anak kecil yang menganga di sarang dicelah dahan.
Dan sebenarnya menjadi pemerhatianku sekian lama.  Ada sepasang burung malakerbau, seekur kudung di pergelangan kakinya, turun mematuk makanan setiap pagi.  Apabila seekur turun, yang seekur lagi bertenggek di tiang telefon atau di pelepah pohon pinang bertujuan untuk menjadi pemerhati kepada musuh (kucing) yang berada berhampiran.  Seusai, yang seekur lagi akan mengambil giliran dan dia akan naik bertenggek menjadi pemerhati pula.   Ah! Inilah satu aturan bagi keselamatan yang mereka telah amalkan.  Satu SOP yang mereka rancang dan patuhi bersama.  Begitu juga burung cak begitu juga burung gagak.  Tetapi kucing-kucing tidak pernahpun kulihat mengendap dan menerkam burung tersebut.  Mereka tidak memperdulikan dan seolah menghormati bahawa burung juga makhluk seperti mereka yang perlu mengisi perut untuk kelansungan hidup.
Hari semakin meninggi.  Setelah menyiram pokok-pokok yang kutanam di pinggir rumah dan setelah bersarapan, aku kembali mencapai kumputer riba dan meneruskan tulisan ini.
Seingat aku dalam sehari dua perintah kawalan pergerakan ini dikenakan, terdapat juga protes dari sebilangan warga terutama apabila larangan beribadat di surau masjid dikuatkuasakan.  Kata mereka apabila musibah melanda, kita sepatutnya lebih ramai bersolat ke masjid bagi memohon ampun dan pertolongan dari Yang Maha Kuasa.  Ini adalah ujian dari Pencipta untuk menguji keimanan kita, ujar mereka.  Kita tidak seharusnya takut kepada virus dan sepatutnya lebih takut kepada Allah.
Tidak kedengaran pulak suara protes dari gereja , kuil dan sebagainya sementelah rumah ibadat mereka juga dikenakan tindakan yang sama.  Ah, mungkin kerana mereka hanya mengunjungi rumah ibadat mengikut masa-masa yang tertentu.  Tidak seumpama umat Islam yang mengunjungi surau masjid 5 kali sehari.
Setelah beberapa hari berlalu, dik kerana hebahan dari media yang cekap memberi penjelasan, maka secara umumnya masyarakat sudah memahami dan dapat menerimanya dengan baik.  Syukur Alhamdullillah… Allah permudahkan segala urusan…
Apa yang harus dilakukan bagi memenuhi ruang waktu yang terluang?  Ah.. sebenarnya sudah sekian lama waktu terluang yang dibazirkan.  Selain menjalankan rutin harian kehidupan sebagai umat dan kehidupan bekeluarga, masih ada lagi kesempatan masa yang terluang.  Dan hari ini aku memutuskan untuk membuat catatan untuk kuabadikan sekurang-kurangnya menjadi memori untuk kusimpan di masa-masa yang mendatang.
Ah.. seharian meneliti handfon, terlalu banyak masa digunakan untuk membaca kiriman yang masuk melalui wasup, facebook mahupun dari laman-laman blog yang bercambah di maya.  Sebahagiannya memberi manfaat juga melalui perkongsian ilmu dan maklumat yang berguna, tetapi banyak juga kebanjiran maklumat dengan berita yang palsu, merosakkan yang disebarkan oleh sebahagian kecil netizen yang entah apa tujuan mereka.
Para peminat theory konspirasi  turut mengambil bahagian dan menyebarkan fakta-fakta mengikut susur galur fahaman mereka.  Umpamanya Virus ini adalah dicipta oleh manusia sebagai senjata peperangan yang mutakhir iaitu senjata biologi.  Malah ada yang mengatakan bahawa kita sekarang berada dalam episode Peperangan Dunia ke-3.  Hujah mereka, ini adalah peperangan antara dua kuasa besar dunia- Amerika dan China.
Ada yang mengutarakan virus ini adalah merupakan bom yang dilancarkan oleh Amerika ke atas China.  Dan sebaliknya ada yang berpendapat pihak China mencipta virus ini dan berlaku kebocoran dan lantas merebak diluar kawalan mereka.  Dikatakan seorang saintis China bernama Li Chen telah melarikan diri ke Amerika dan membocorkan rahsia negaranya.  Dia mendakwa bahawa China telah berjaya mencipta virus yang merbahaya ini di sebuah makmal biologinya di Wuhan.  Menurutnya ia akan digunakan sebagai senjata biologi dalam peperangan.
Ada juga yang mengatakan bahawa ini adalah perancangan Iluminati dalam usaha untuk merencanakan dokrin mereka untuk mengurangkan penduduk dunia yang sekarang ini seramai 7.7 bilion.  Mereka ingin mematikan umat manusia sehingga tinggal 500 juta sahaja.  Pihak agamawan pula ada yang berpendapat bahawa ini adalah petanda kiamat telah hampir dan saatnya sudah sampai untuk Dajjal turun ke dunia bagi menyesatkan semua manusia.
Metos-metos ini menetas dari cengkerang fikir di kalangan sebahagian pemikir tak kira dari negara mana. 
Seorang  penulis Amerika bernama Sylvia Browne telah menulis buku ‘End Of Days’ pada tahun 2008.  Buku berbentuk fiksen itu mengesahkan pandemic sejenis virus yang menyerang saluran penafasan dan merosakkan jantung manusia.  Novel ini diburu semula ekoran dari Convic 19 ini walaupun dia telah meninggal pada tahun 2013.
‘The Eye Of Darkness’ tulisan novelis terkenal juga dari Amerika, Dean Koontu pada tahun 1981 dan dibaru cetak pada tahun 2008 menulis tentang penyebaran virus yag dinamakan Wuhan 400 yang menjadi pandemic di Negara itu.  Ironinya tulisan ini dihasilkan olehnya 12 tahun lebih awal dari munculnya wabak ini yang dimuali di Wuhan China.  Apakah ini satu kebetulan atau…
Donald Trump dalam kenyataan akhbarnya menamakan virus covet ini sebagai ‘China Virus’.  Ini adalah merupakan kenyataan politik beliau yang terkenal bersikap agak kasar.  Walaupun ia disanggah oleh beberapa wartawan yang menuduh kenyataan beliau sebagai kenyataan rasis yang ‘baseless’ tetapi ia tetap berkeras dengan kenyataan tersebut.  Dan tak semena-mena vaksin untuk virus ini telah dikatakan dapat dihasilkan oleh dunia barat.
Pakar-pakar baik dari China dan dunia Barat menyanggah teori konpirasi ini.  Menurut mereka virus ini adalah menetas dari kepompong masa secara semula jadi.  Mereka mengatakan bahawa mitos-mitos yang tersebar adalah merupakan fenomina ‘Infodemik’ yang menular melalui media social.
Dan bagi kita orang Islam, kita mempercayai bahawa tidak ada satu apapun yang mampu terjadi melainkan dengan izin Allah.  Jika virus ini dikatakan dihasilkan di makmal sekalipun tetapi ia sudah tentu dengan keizinan dan takdir dariNya juga.   Allah sahaja yang menguasai takdir dan Dia yang menguasai segala keizinan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Belum bertajuk

  Di sangkak tradisi Dieramnya generasi buat menyambung legasi Menetaslah wajah-wajah baru dari kehangatan kasih