28 Februari 2010

Kura-Kura

diapun keluar
dari cengkerang diri
melihat sinar

lalu merangkak
mengheret cengkerang hidup
yang kian meretak


fauzirashid
(hidup adalah rangkak yang perlahan menuju akhir)

27 Februari 2010

Maulidur Rasul 1431H

12 rabiulawal tahun gajah
tahun siabrahah mahu menghancurkan kaabah
lahirlah seorang insan kamil
penghulu segala makhluk
rahmatan lila'lamin

dari timbunan jahilliyah
dari rimbunan khurafat
kekejaman. penindasan. kesesatan
dari kafilah manusia yang hilang pedoman
dan dendam kesukuan yang tajam. kebinatangan
manusia telah pupus kemanusiaannya

dia yang siddiq
dia yang amanah
dia yang tablig
dia yang fathonah
menggalas beban sebesar gunung
maha berat. maha hebat

Muhammad. Ahmad. Yasin. Thoha namamu yang agung
disetiap hati insan yang mendapat pedoman
jalannya yang lurus
seruannya yang mulus

Ooo tuhan
kiranya Kau izinkan
aku ingin bersama safnya
di padang perhitungan nanti...

fauzirashid
(sempena hari keputeraan Rasullullah 1431H

25 Februari 2010

Pencarian1

i.
umpama air
aku pun mengalir
dari hulu ke hilir

mencari lautan

agar kutemui

cintaNya
kasihNya
rinduNya


ii.
umpama air
aku masih mengalir
dari hulu ke hilir

mencari
pengertian

fauzirashid
25.2.10

22 Februari 2010

Buat Sahabat

(puisi untuk sdr Mokhtar bin Aseh - 11.1.10)


dikatil yang terakhir
kau fana dalam hembusan yang tenat

kau hanya ada pilihan
untuk terus pergi atau
bersama kami teruskan perjuangan yang belum selesai

maka
rengkuhlah semangat itu
agar kau dapat lagi bersama kami
meneruskan perjuangan ini

fauzirashid
(cetusan perasaan ketika melawat seorang sahabat yang tenat terlantar di bilik ICU hospital Sri Manjung. Syukur alhamdullillah kerana beliau telah pulih.

21 Februari 2010

Mencari Erti Diri

ku teliti lengkung langit dari perahuku yang kecil
di tengah lautan malam yang maha luas

ku teliti bintang-bintang yang bertaburan
dengan sinarnya yang mengerdip
menjadi pedoman pelayaran hidup
aku dan pelaut zaman berzaman

bulanku yang kecil di hujung langit
pasti memerhatikan aku yang berkayuh menongkah arus
yang akan membawa entah ke mana dataran itu untuk kuberlabuh

oo tuhan
izinkan aku singgah di pelabuhanMu
sekedar menginap sebentar di kota Rahmah
dalam sinaranMu yang kudus

biar olang aling gelombang surut dan pasang
meremajakan aku dalam pencarian
erti diri dan kehidupan

fauzirashid
21.2.10

18 Februari 2010

Mengapa?

mengapa harus mencipta virus-virus
yang menjalar di kamar maya

mengaburkan rindu yang mula menyinar
aku dan dia

meretakkan jubin-jubin cinta
kami berdua

fauzirashid
18.2.10

16 Februari 2010

Hujah @ Tivi9

dalam kemunafikan diri
kulihat mereka tidak lagi mampu berhujah
kepada pertanyaan-pertanyaan yang ringan
apalagi sekiranya ada jemputan pasukan lawan duduk bersama
mereka pasti akan kelihatan dungu umpama lembu yang mengunyah rerumput kering

tanpa fakta mereka menabur perasangka
atau
sengaja mengeruhkan keadaan
dalam kesamsengan 50 tahun lebih mereka memenopoli segala urusan

ketika mereka dipuncak kuasa
mereka persetankan segala
kini mereka mahu muncul jadi pembela nombor wahid
tapi sebenarnya yang kulihat adalah;
taburan fitnah tanpa fakta
dalam nada dan muka yang tolol

aku tidak sekali-kali percaya
untuk mereka membela kami
mereka sebenarnya mahu bikin kacau
mahu buat samseng
agar dapat menjerut semula hidup kami

agar mereka dapat merompak
setelah gagal bertarung secara berdepan
secara anak jantan
kerana mereka tidak punyai hujah lagi
hanya mahu bikin kacau
dalam budaya samseng

mereka hanya mahu bikin
kami keliru
untuk bersama mereka

oh..tidak
kami telah insaf

fauzirashid
16.2.2010

14 Februari 2010

Puisi Seorang Muazzin

disubuh yang terlalu bening ini
mengalirlah sungai-sungai diri
rinduku pun menghening bersama langkah ke rumahMu

dan langkah demi langkah itu merakam sedar pada aspal jalanMu yang satu
kusaksikan kebesaran demi kebesaran yang Maha Tinggi;
pada mozek-mozek yang bergantungan di langit.
pada gunung gemunung yang bungkam dan diam.
pada rimbunan pohon yang bertasbih sepanjang malam.
pada sehelai benang halus yang jernih diufuk timur.

lalu,
terasa mahu kulukiskan subuh yang terlalu bening ini pada kanvas diri
mencairkan warna-warna keindahan
lalu menulis puisi rindu yang teramat
dan merakamkan nyanyian puisi itu dirumahMu
sebelum kutaburkan subuh ini dengan serbuk azan
menyeru namaMu Tuhan
menyeru panggilan
puisi keagungan

fauzirashid
(gongxifacai untuk rakan-rakan)
14.2.2010

13 Februari 2010

Dunia Tanpa Tajuk

dengan dia sebutir batu ditangan
dengan mereka ribuan kereta kebal. peluru nuklear
penjanjian itu diusul

isinya :
dia harus akur
untuk dihalau terus dari tanah pusaka

atau dia akan dicap sebagai
terorist!!
atau dia akan terus dibom
kerna selalu bikin kacau

dan
seluruh isi alam
bersetuju
itulah
order manusia baru

fauzirashid
13.2.10

11 Februari 2010

Gunungku

gunungku adalah seekur raksaksa dipertapaan
diam dan bungkam dalam gua langit
puncaknya terlalu sering diserbu awan hitam; namun
ia tetap bertahan menujah angkasa jagat

pepohon adalah selimut diri gemunungku itu
sungai-sungai kecil adalah urat nadi yang mendenyut
membawa darah ke lembah
suara air adalah suara yang mengalir
membujuk hati nuraniku agar cair

ah!
tidak akan basah
segala harapan ini
langkah perjuangan ini

fauzirashid
11.02.10

06 Februari 2010

Bersamamu - Keinginanku

biarkan aku menempuh
bilah-bilah gerimis
disenja yang menjingga ini
lalu meniti lengkung pelangi
hanya untuk bersamamu sayangku

dan
pada malamnya
biar kita ditemani bulan
dibuai desir bayu dan
desah ombak

biarkan sayangku
biarkan begitu...

fauzirashid
(buat seseorang)
6.2.10

04 Februari 2010

Utusan Syaitan

lapurannya
kotor
fitnah
biadap
jijik

ia utusan taik
pekakas iblis
bangsat
laknat

fauzirashid
(mereka hidup tanpa etika)
4.2.10

01 Februari 2010

Memoir Adam 'Alaihissalam

(menyelami Al-Baqarah, ayat 30~34)

setelah aku diajar Tuhan
nama-nama benda
lalu Tuhan menanya malaikat
apakah nama benda-benda itu
berkata malaikat
" Maha Suci Engkau! kami tidak tahu sekadar apa yang Engkau ajarkan kami"

lalu aku dipanggil Tuhan
mengajarkan mereka nama-nama itu
lalu berkata Tuhan
"Bukankah Aku telah katakan kepada kamu,
bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia di langit dan di bumi,
dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan, dan
apa yang kamu sembunyikan"

lalu aku dengar
Tuhan berfirman
"sujudlah kamu kepada Nabi Adam"

lalu semua sujud kepadaku kecuali
iblis...

"aku dari nar yang panas dan bersinar
dia dari tanah lekit dan basah
mengapa aku perlu rendahkan diri... aku protes"

lalu aku sedar
'dalam takbur
akan mengalir darah kufur'

fauzirashid
(al-fatihah untuk datuk semua manusia)
1.2.10

Belum bertajuk

  Di sangkak tradisi Dieramnya generasi buat menyambung legasi Menetaslah wajah-wajah baru dari kehangatan kasih