07 Julai 2012

Di Pentas Hitam Putih

i)
diapun terus menggerakkan bidak-bidak
ke petak-petak hitam putih dalam pertarungan kali ini
dengan mengusung nafsu serakah
dia mengatur tipu helah dan 
menebarkan racun fitnah yang melata
ke setiap persimpangan yang berliku di petak-petak itu

dengan rentak tari bidak-bidak mainannya
diintainya setiap gerak rusuk musuh yang bersegi
dan fitnah itu ditebarkan lagi sehingga ke ranjang malam

memangpun selama ini
pabila dia terus menggerakkan bidak-bidaknya ke setiap penjuru petak hitam putih itu
lawannya harus akur bahawa:
dia adalah pemain yang tersohor
geraknya pasti memerangkap bidak lawan
yang pasti terkedu tewas dalam setiap kali pertarungan
kemudian dia akan kembali mengawal setiap rinci petak-petak hitam putih itu
selama ini

ii)
dan kali ini dia tersedar dari lamunan bahawa:
gerak setiap bidak dirinya tidak lagi lancar
sering terkedu dan tersekat di petak-petak diri
setiap gerak rusuknya diintai dengan rincinya
tipu dayanya tidak lagi mampu menolehkan lawan

namun dia terus mengisi racun
pada setiap kelongsong bidak-bidaknya
agar setiap gerak mampu menggegar gerak musuh

iii)
sebenarnya dia telah tersedar
bidak-bidaknya hanya bergerak
di sekitar perangkap musuh yang bijak

dan penonton-penonton yang bersidai di keliling meja pertarungan
telah maklum...
pada kali ini dia akan ditewaskan
dalam kehinaan yang amat sangat

iv)
dan...
dalam diam
dia mengatur langkah;
papan pertarungan ini akan diterbalikkan
sebelum geraknya di 'CheckMate'

fauzirashid




Belum bertajuk

  Di sangkak tradisi Dieramnya generasi buat menyambung legasi Menetaslah wajah-wajah baru dari kehangatan kasih