08 Jun 2011

Dia

dikutipnya serpihan dosa
sepanjang jalan kota
lalu dikendongnya ke hulu ke hilir
mundar mandir
di gigi longkang kotaku yang hanyir

dia bukan parasit kota
hanya kerna dia tidur di bawah jambatan hidup
berlapikkan kotak-kotak lusuh

dia bukan manusia gila
seperti yang kau sangka
hanya kerna dia hidup dengan dunianya sendiri
mengunyah takdir yang ditentukan tuhan

dia adalah seorang seniman
seperti kalian
mengutip diksi-diksi
untuk secangkir puisi

fauzirashid
(KL 8.6.11)

05 Jun 2011

Renjisan Restu

betapa indahnya saat itu
tika ibu dan ayah membuat renjisan restu
dan menabur bunga
tika kita bersama di pelaminan cinta

fauzirashid

Fitnah Membawa Padah

Subuh tadi aku berkesempatan menghadiri kuliah subuh di surau taman aku. Penceramah adalah seorang professor di salah sebuah pengajian tinggi awam.

Antara yang menarik perhatian aku adalah bicaranya tentang isu fitnah yang melanda senario negara kita dewasa ini. Perbuatan menjatuhkan maruah perseorangan seolah menjadi halal dalam negara kita dewasa ini. Apatah lagi ianya mengutarakan isu lucah yang melampau.

Apakah kita sudah tidak ada kerja lain seolah persoalan seks lucah sahaja yang mewarnai sejarah kita? Sejak fitnah kepada Hang Tuah sehingga kepada fitnah yang menimpa Mahsuri di Langkawi yang kesemuanya membawa kesan hukuman tuhan ke atas seluruh umat melayu selepas itu. Penaklukan Melaka oleh Portugis dan kontangnya bumi Langkawi adalah natijah daripada balasan Allah ke atas perbuatan manusia.

Dan sekarang ada sekelompok manusia mahu menjatuhkan lawan tidak dengan mengemukakan wacana intilektual atau mengemukakan program-program yang terbaik tetapi hanya dengan mereka-cipta fitnah yang tidak dapat dibuktikan dengan benar. Perintah Allah tidak lagi dipedulikan umpama membawa tuduhan ke mahkamah syariah untuk dibicara dalam kes Khazaf.

Aneh mereka yang berpendididikan islam dan mempunyai kedudukan dalam institusi islam pun bisu seribu bahasa dalam mengutarakan hukum dan kebenaran yang digariskan oleh islam.

Tambahnya lagi, kalau dahulu beliau merasa bangga mewakili negara dalam wacana-wacana intilektual peringkat antarabangsa, tetapi kini beliau berasa malu dengan perwakilan dari negara lain apabila mereka menanyakan tentang video lucah dan kisah liwat yang melanda negara. Ada juga yang agak sinis dikalangan mereka katanya.

Seterusnya beliau meminta masyarakat harus disedarkan bahawa fitnah ini harus dibenteras dan dihapuskan sebelum ianya memalukan negara. Kepentingan-kepentingan politik atau percaturan dunia politik tidak seharusnya diwarnai dengan unsur yang sangat tidak bertamaddun ini.

Seterusnya beliau meminta rakyat harus mengubahnya sebelum parah. Harus ada dikalangan umat yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah berlakunya kemungkaran. Hanya dengan itu masyarakat dan negara akan mencapai tahap negara cemerlang dengan masyarakat hidup dalam keadaan madani.

fauzirashid
5.6.11

04 Jun 2011

Dimanakah

dalam gubuk diri
kucari sekuntum puisi
yang dulu kutulis khas
untukmu duhai kekasih

namun
lembar demi lembar kutemui
hanyalah
puisiku yang kusut

4.6.11

17 Mei 2011

Bila Sundal Berbicara

berbicaralah sibetina itu saban malam
menaburkan serbuk dari neraka
di tepi-tepi jalan yang bengkok

dari mulutnya, seekur ular membelit
di perutnya, membara api dendam
di rahimnya telah membenih jutaan iblis
dari hubungan persundalan

dan
pentas itu di taja syaitan
yang sedang bermaharajalela...

fauzirashid
(akan terpedayakah anak adam?)
17.5.11

16 Mei 2011

Lelaki Yang Perkasa Itupun

tak semena-mena
percaya kepada salakan seekur anjing gemuk
seorang lelaki yang perkasa itupun
melancarkan perang salib
dan berjihad fisabilillah

ku kira
kalaupun dia gugur di medan perang itu
dia tidak mati syahid
tapi dia
mati katak...

fauzirashid
16.5.11

14 Mei 2011

Fitnah & Sumpah

kalau video itu tulen
siapakah pelakunya
kalau benar sk mahu menegakkan yang maaruf
mencegah kemungkaran
bukankah dia ada bersama?
mengapa tidak membuat serbuan
pada masa adegan sedang berjalan?

atau dia sebenarnya pembekal sundal
kepada siapa?

apakah sumpah membuktikan kebenaran?
apatah lagi dengan al-quran yang terbalik
lambang kejahilan yang tersangat

kalau sumpah tanda benar
tak payah bina mahkamah
pencuri boleh lepas bila dia bersumpah di masjid

kalau sumpah tanda benar
aku ingin berdiri di atas sebidang tanah
dan aku bersumpah bahawa tanah itu kepunyaan aku
maka adakah tanah itu sudah sewajarnya menjadi milik aku?

umpama budak-budak
ketika dia terkantoi
diapun berkata "sumpah aku tak tipu...."
walaupun sebenarnya dia telah melakukan penipuan...

fauzirashid

Belum bertajuk

  Di sangkak tradisi Dieramnya generasi buat menyambung legasi Menetaslah wajah-wajah baru dari kehangatan kasih