28 Januari 2012

Aku Yang Tersisih

(Kutemui seorang tua yang kukenali puluhan tahun dulu. Dulu dia membuka gerai di tepi jalan dan aku selalu makan sambil bersantai dan berborak dengannya. Isterinya yang agak jauh lebih muda darinya turut membantu perniagaan itu. Dan kali ini ketika kutemui, dia sudah kehilangan semua itu...dia telah diusir oleh keluarganya ..dan dengan daif kulihat dia mengharung sisa usia yang kosong...di jalan-jalan kota dan bermalam di mana-mana. Dan kutulis puisi ini pada ketika fikiranku sedang sarat memikirkan rencah-rencah hidup manusia)


tanpa sepatu
aku melangkah ke aspal yang garing
dengan sebatang tongkat
kukutip sampah-sampah kalian

di sebatang tiang lampu
di lorong yang berliku
kurebahkan diri
membelek kotak-kotak mimpi

duhai tuan
izinkan aku mengunyah hidup
di lantai waktuku yang bersisa

fauzirashid

15 Januari 2012

Angkara Cerobong Kapitalis

daun-daun telah gugur
dahan telah patah
tunggul kian mereput

sungaiku mengalirkan lendir
ikan mengelepar
siput mereput
cengkerik tidak lagi mampu berbunyi

tiada lagi damai di sini

fauzirashid
(sebuah kilang sarung tangan dibenar beroperasi di desaku)


12 Januari 2012

Puisi Untuk Wirawan

tiada kulihat dia seolah gentar
atau terlayu dan ternanar
tiada kulihat langkah silatnya tersumbang
atau pernah mahu melangkah pulang

dia wirawan terbilang
tetap gagah
membujur lalu melintang patah

fauzirashid

08 Januari 2012

Antara Kita

di lantai diri
kulangkahi sepi
dengan sebiji belon
kulambai pelangi
yang melengkong senja

duhai malam
kau bawakan rinduku
kepadanya

dan gerimispun
membasah kulit ingatan...

fauzirashid

05 Januari 2012

Senyumanmu Itu - Hatiku ini

i.
Senyumanmu (Saat mula kita bersua)

pelangi senja yang menibarkan
warna-warni gemilang meredah awan
dan beburung melayang pagi dan petang
berpasang-pasang

adalah umpama air yang mengalir
dari hulu ke hilir
merempuh pepasir

dan di bawah kehijauan pepohon itu
seekur ikan bermain-main
buihnya yang bening dan dingin

ii.
Hatiku ini ( Apabila engkau melangkah pergi)

umpama
sebilah lembing yang kau tujahkan
ke dadaku yang ungu
lalu aku tersungkur ke tanah
lemah dan berdarah

adalah jua sebilah panah
yang kau lepaskan dari busurnya
tertusuk ke hatiku
lalu aku menggigil dan jatuh
mengerang dan mengaduh

fauzirashid

31 Disember 2011

ROMBONGAN HIDUP

i.
sedang kita lewati jalan tua
lurus dan berpapan tanda
di jalan kiri kanan
rumah dan hijau pohon
burung-burung menyanyi riang
di dahan pagi petang

di madrasah tua
beduk mengetuk
membentang gema azan ke halaman
kita berhenti sejurus
ah! mesranya angin yang menyapa dan membisik

kita temui jambatan tua
memberi salam pada air yang menghilir
air pun menyampaikan pada jalan tua
salam dari gunung
ah! mesranya angin yang menyapa dan membisik

daun-daun hijau melambai
pada kita
pada air yang menghilir
daun-daun berpesan
baik-baik dijalanan menemui lautan

ii
setelah melewati jalan tua
kita temui jalan ini
simpang siurnya bertibar
ke mana-mana

di hadapan kita
jalan-jalan baru
menganga
arahan-arahan bergantungan
di rahang malam siang

nun jauh
tanda soal melengkong di aspal
kota batu
asap hitam
bergelut

fauzirashid
(salam tahun baru buat sahabat puisi)

Lalu

di kulit dadanya yang monggel
ada sekeping tatoo 1 malaysia
lalu dijajanya pada setiap penumpang
yang sedang dibuai mimpi
di bangku gerabak diri

fauzirashid

Belum bertajuk

  Di sangkak tradisi Dieramnya generasi buat menyambung legasi Menetaslah wajah-wajah baru dari kehangatan kasih