30 Jun 2009

Puisi Pada Pintu

i
saban waktu
rezeki masuk dan pergi

ii
dibendul itu
seorang ibu tua duduk menanti
anaknya tak kembali..

iii
menutup kepalsuan
membiarkan kebenaran bertamu

iv
diapun mengizinkan
kalau kau sudi bertandang

fauzirashid
30.6.09

28 Jun 2009

Puisi Pada Pintu Surau

jemaah masuk surau
tutup pintu bila keluar
nanti kucing masuk kencing!!!

fauzirashid
30.5.09
surau fasa 1a

26 Jun 2009

Rintihan di Tateyama

mahu kubina sebuah mahligai
di bukit tinggi ini. setinggimu tateyama
dikelilingi bersih salji. dakapan nurani

tapi tateyama…
ku perlu bisikan dari mu
siapa…
siapa yang mahu bersamaku
tinggal bersamamu
menghuni putih suci

fauzirashid
(Puisi ini ditulis di dalam buku alpine route tateyama and kurobe- yang kubeli semasa melawat tateyama 10.6.87 –Rabu)

25 Jun 2009

Secalit Bulan

pada langit mendung ada secalit bulan murung
rintihnya menjadi gerimis
membasah serbuk azan yang kaulaung. kudengar sedu dan tangis

pada senja yang melata
ada segerombolan gergasi dihujung mega. merah menyala
secalit bulan kian murung
rintihnya kian menjadi gerimis. kian kudengar sedu dan tangis

bila malam bertamu
bulanku termanggu lemah dan lesu
secalit cuma dilaut mega
rintihnya terus menjadi gerimis. terus kudengar sedu dan tangis

fauzirashid
25.6.09
manjung

24 Jun 2009

Kesunyian II

kadang-kadang aku hanya
sekelungsung diri
tanpa inti
menganga dan lompong
umpama gaung

kadang-kadang aku mengalir
umpama air terlalu cair
tercari-cari
pantai dan pepasir

kalau engkau mengerti

fauzirashid
magome ryo
24.9.87

23 Jun 2009

Perubahan

jika mereka mahu berubah
tak bisa lagi kau fitnah
sekalipun kau rasuah
mereka tetapkan berhijrah

fauzirashid
22.6.09

22 Jun 2009

Malapetaka

malam akan membuka dendam
menjunamkan berjuta panah tajam
ke mukaku ke mukamu dan ke muka-muka
ke dadaku ke dadamu dan ke dada-dada
kita semua

kita akan ditimbus sekejap lagi
tanpa bayang-bayang sebagai teman
akan lemaslah kita di bawah bungkah-bungkah
pertanyaan

kan mengalirlah darah. bumi membasah.

malam takkan memberi pedoman
kita tetap akan dibungkus
lalu dilonggokkan ke lereng gaung

fauzirashid
puisi asal ditulis pada 25.9.87 -tokyo
dibuat sedikit ubahan pada 22.5.09 - manjung

Belum bertajuk

  Di sangkak tradisi Dieramnya generasi buat menyambung legasi Menetaslah wajah-wajah baru dari kehangatan kasih