28 Februari 2010

Kura-Kura

diapun keluar
dari cengkerang diri
melihat sinar

lalu merangkak
mengheret cengkerang hidup
yang kian meretak


fauzirashid
(hidup adalah rangkak yang perlahan menuju akhir)

27 Februari 2010

Maulidur Rasul 1431H

12 rabiulawal tahun gajah
tahun siabrahah mahu menghancurkan kaabah
lahirlah seorang insan kamil
penghulu segala makhluk
rahmatan lila'lamin

dari timbunan jahilliyah
dari rimbunan khurafat
kekejaman. penindasan. kesesatan
dari kafilah manusia yang hilang pedoman
dan dendam kesukuan yang tajam. kebinatangan
manusia telah pupus kemanusiaannya

dia yang siddiq
dia yang amanah
dia yang tablig
dia yang fathonah
menggalas beban sebesar gunung
maha berat. maha hebat

Muhammad. Ahmad. Yasin. Thoha namamu yang agung
disetiap hati insan yang mendapat pedoman
jalannya yang lurus
seruannya yang mulus

Ooo tuhan
kiranya Kau izinkan
aku ingin bersama safnya
di padang perhitungan nanti...

fauzirashid
(sempena hari keputeraan Rasullullah 1431H

25 Februari 2010

Pencarian1

i.
umpama air
aku pun mengalir
dari hulu ke hilir

mencari lautan

agar kutemui

cintaNya
kasihNya
rinduNya


ii.
umpama air
aku masih mengalir
dari hulu ke hilir

mencari
pengertian

fauzirashid
25.2.10

22 Februari 2010

Buat Sahabat

(puisi untuk sdr Mokhtar bin Aseh - 11.1.10)


dikatil yang terakhir
kau fana dalam hembusan yang tenat

kau hanya ada pilihan
untuk terus pergi atau
bersama kami teruskan perjuangan yang belum selesai

maka
rengkuhlah semangat itu
agar kau dapat lagi bersama kami
meneruskan perjuangan ini

fauzirashid
(cetusan perasaan ketika melawat seorang sahabat yang tenat terlantar di bilik ICU hospital Sri Manjung. Syukur alhamdullillah kerana beliau telah pulih.

21 Februari 2010

Mencari Erti Diri

ku teliti lengkung langit dari perahuku yang kecil
di tengah lautan malam yang maha luas

ku teliti bintang-bintang yang bertaburan
dengan sinarnya yang mengerdip
menjadi pedoman pelayaran hidup
aku dan pelaut zaman berzaman

bulanku yang kecil di hujung langit
pasti memerhatikan aku yang berkayuh menongkah arus
yang akan membawa entah ke mana dataran itu untuk kuberlabuh

oo tuhan
izinkan aku singgah di pelabuhanMu
sekedar menginap sebentar di kota Rahmah
dalam sinaranMu yang kudus

biar olang aling gelombang surut dan pasang
meremajakan aku dalam pencarian
erti diri dan kehidupan

fauzirashid
21.2.10

18 Februari 2010

Mengapa?

mengapa harus mencipta virus-virus
yang menjalar di kamar maya

mengaburkan rindu yang mula menyinar
aku dan dia

meretakkan jubin-jubin cinta
kami berdua

fauzirashid
18.2.10

16 Februari 2010

Hujah @ Tivi9

dalam kemunafikan diri
kulihat mereka tidak lagi mampu berhujah
kepada pertanyaan-pertanyaan yang ringan
apalagi sekiranya ada jemputan pasukan lawan duduk bersama
mereka pasti akan kelihatan dungu umpama lembu yang mengunyah rerumput kering

tanpa fakta mereka menabur perasangka
atau
sengaja mengeruhkan keadaan
dalam kesamsengan 50 tahun lebih mereka memenopoli segala urusan

ketika mereka dipuncak kuasa
mereka persetankan segala
kini mereka mahu muncul jadi pembela nombor wahid
tapi sebenarnya yang kulihat adalah;
taburan fitnah tanpa fakta
dalam nada dan muka yang tolol

aku tidak sekali-kali percaya
untuk mereka membela kami
mereka sebenarnya mahu bikin kacau
mahu buat samseng
agar dapat menjerut semula hidup kami

agar mereka dapat merompak
setelah gagal bertarung secara berdepan
secara anak jantan
kerana mereka tidak punyai hujah lagi
hanya mahu bikin kacau
dalam budaya samseng

mereka hanya mahu bikin
kami keliru
untuk bersama mereka

oh..tidak
kami telah insaf

fauzirashid
16.2.2010

Belum bertajuk

  Di sangkak tradisi Dieramnya generasi buat menyambung legasi Menetaslah wajah-wajah baru dari kehangatan kasih