08 November 2009

Catatan Perjalanan

i
serpihan usia

seorang tua di steysen ini
menunggu gerabak
menopang ke sebatang tanda soal
yang bertitikkan
berjuta puntung dan abu pengalaman

ii
pelacur

di dalam bibir yang merah dan basah itu
sebutir mutiara berkilauan
di dalam mutiaranya itu
seekur ular membelit. menggigit

iii
keihinjima

pulau ini dibentuk
dari timbunan fikiran dan tenaga

iv

kau tidak pernah bertanya
ke mana suara menipis dan mengecil
ke dalam bumikah mengalir bersama air
atau naik tinggi dijilat mentari

v
di steysen senjuku

seorang tua duduk di tangga
di kakinya kulihat serakan nombor-nombor
di kepalanya bintang-bintang berlaga
di mulutnya basi sebotol beer
di matanya terowong gelap beribu lorong
di tangannya terhimpun angka-angka kosong

fauzirashid
(catitan sebuah pemerhatian pada satu perjalanan)
9.11.87

07 November 2009

Sebenarnya

sebenarnya
titik-titik basah jatuh
ke mukaku kini
menjadi
bintik-bintik resah

kerna aku
bukan ahli puisi umpama kalian

cuma
aku rasa
aku sedikit siuman
kalian sedikit gila

maafkan aku
kalau....
aku telah tidak memohon maaf

fauzirashid
16.9.87

02 November 2009

Pencemaran Diri

disedutnya
debu kehidupan
lalu mendap dalam
jantung diri

kian pelahan degup
darah mengalir
benih-benih barah
pun kian menguntum

dan kau sedut lagi
dengan nikmat sementara
dalam halkum yang luka
denyut nadi
mengalirkan jutaan darah
yang pasrah

kian lemah kian mengah

fauzirashid
2.11.09

01 November 2009

Sebuku benang biru

kujalin rindu
dengan sebuku benangku yang biru
lalu menjadi sekuntum kasih
berbunga pada sutera cinta

fauzirashid
1.11.09

31 Oktober 2009

Giliran

(ketika aku menziarah kematian isteri sahabatku Mior
kulihat ramai sanak saudaranya sampai dan berpelukan
dengan wajah murung, kusaksikan ada yang menangis dan
ada yang memujuk dan ini menyentuh hatiku dan serentak
teringat aku akan puisiku ini yang pernah kutulis dulu..)

setiap saat umpamanya
kita bergilir-gilir memasuki
gerabak yang akan pergi membawa
entah ke mana tanpa hujung landasan itu

jika sampai umpamanya
giliran engkau untuk melangkah
engkau tidak sempat lagi berundur dan menengadah
kerana pintu akan ditutup roda akan meraung
dan kau akan dibawa oleh gerabak
meninggalkan berjuta degup murung

adalah lebih baik di sini umpamanya
kau sentiasa memastikan
berdiri di baris yang lurus
sambil menunggu giliran memerhatikan sepatu
menggilapnya dari serpihan debu

fauzirashid
16.9.87
subway tokyo

30 Oktober 2009

Pinta Sang Pintu

semua ku sanggup
cuma kupinta
bila kau buka
tolong kau tutup

fauzirashid
30.10.09

28 Oktober 2009

Haru Biru

ini puisi mudah
negeriku ini dua mb
bersidang dalam satu dewan
penuh kekecohan

ada yang haram
ada yang sah
pilihan kami anak negeri
tak sangka dalam negeri kami
dalam jaman moden begini
lanun dinobat jadi mb
menguasai hidup kami

anjing adalah alat
gigit mangsa
kemunafikan merajalela
kemungkaran menjadi raja
kami anak bangsa tak bisa
buat apa-apa
tengok aje

fauzirashid
sidang dun
28.10.09

Belum bertajuk

  Di sangkak tradisi Dieramnya generasi buat menyambung legasi Menetaslah wajah-wajah baru dari kehangatan kasih