30 September 2009

Buntu

bungkah waktu
menghentak
kepalaku

kepeningan

pusing-pusing
umpama gasing
lalu miring

dan...
berhenti dalam bulatan
sesat jalan

fauzirashid
30.9.09

26 September 2009

Pelangi, Senja Dan Kita

pelangi kembali melengkung dilangit mendung
pada senja yang menjingga menibarkan tujuh warna gerimis
ada laungan keramat bersama beburung yang terbang pulang
kita yang dijalanan ini masih di sini tanpa mahu mengerti

bahawa
panorama senja yang dilukis tuhan
bersemi peringatan dalam seruan azan
kita perlu singgah melabuhkan diri
meletakkan dahi pada bumi

bukan asyik dijalanan membuka dada
melayan anak-anak dengan sebiji belon
sedang pelangi kau lihat melengkung dilangit mendung
memerhati kau dengan wajah murung

fauzirashid
(memerhati rentak senja dan manusianya kita)
26.9.09

18 September 2009

Cobaan

i
kita yang dari maktab ramadhan
sebentar akan hadir pada konvo anugerah
syawal yang gemilang dan gah

pintukan dibuka
kita menyarung kembali pakaian diri
setelah dibasuhan tangan-tangan ramadhan
suci berseri putih umpama bulan pagi

ii
sebentar belenggu dibuka tuhan
bebaslah mereka meratah iman
mangsa-mangsa yang sedang gemilang dan gah
kembali menunggang nafsu serakah

iii
kita kembali hidup
mengharung gelombang laut
melatam bahang bara
menguji diri
dalam cobaan

fauzirashid
24.9.09

16 September 2009

Pencarian Diri

dengan sebilah kunci kubuka pintu diri
di sana ada ribuan pintu yang tak bisa kumasuki
lalu dengan seberkas kunci kubuka ribuan pintu hati
di sana ada ribuan laci yang tak bisa kumengerti

fauzirashid
(aku sedang mencari masterki...untuk kubuka segalanya)
16.9.09

13 September 2009

Pemergian Pedih

sebentar
duhai kekasih
telah sampai saat perpisahan pedih
izinkan aku
menatap jernih
dalam matamu mencongak waktu
mengucup alismu direrambutnya yang halus
buat menghilang kerongkong ku yang haus
izinkan aku
menyentuh basah kelopak bibirmu yang merkah
buat membelai sekuntum rinduku yang kian resah

duhai kekasih
pemergian pedih
izinkan aku mendakap waktu
bersama
biar kukira degup jantung saat pemergian murung
dan
mengelus ikal rambutmu yang mayang
sampai kehujung-hujung helaian rindu
pada jari jemarimu
biar kuramas ikhlas saat-saat yang tak pernah kupuas

duhai kekasih
perpisahan pedih
izinkan aku merakam tanda merah
saat-saat perpisahan menjengah
kau dan aku dalam waktu-waktu rindu yang tersangat
dan
aku yang sering meniti dilengkung pipi sang pelangi
mencari-cari belon diri untuk kubawa bersama nurani
duhai senja yang menjingga
kau dengarilah…
kiranya kau tundakan perjalananmu
biar ku disini masih tetap bersamanya lagi
melayan rindu
melayan sendu
dia dan aku yang terlalu

duhai malam yang membekam
berikan aku kekuatan diri
disaat-saat ianya pergi meninggalkan aku sendiri

duhai pagi
duhai hari yang dini
duhai alahai duhai
izinkan aku saban waktu
bersamanya
oh…Ramadhanku
oh....

fauzirashid
(baru rasanya kita berdakapan..kini aku kau tinggalkan)
15.9.09

12 September 2009

Serbuk Jumaat

lalu khatib pun menaburkan serbuk jumaat
dengan semangat dari mimbar besar
sedang jemaah asyik melayan sejuk marmar
dilantai ramadhan

kulihat serbuk jumaat adalah
serpihan mutiara yang berkilau
di bazir jemaah
sebahagiannya menjadi debu
sebahagiannya naik menginap lelangit masjid

lalu sang cicak pun melontar lidah
mengutip setiap serbuk jumaat
mengunyah dengan nafsu dan serakah
lantas menaburkan ketulan basah
hitam putih ke songkok jemaah

fauzirashid
12.9.09

10 September 2009

Kalimat Tuhan

selembar demi selembar
kalimat tuhan bertaburan
diinjak kaki-kaki rakus
hidup haus

lalu
kukumpul
selembar demi selembar
ke saku diri

fauzirashid
10.9.09

09 September 2009

Angka

kosong sembilan kosong sembilan kosong sembilan
bersamaan satu sembilan ramadhan
aku mencari lailatulkadar
satu malam lebih baik dari seribu bulan
lindungilah aku dari nar
setelah mencari magfirah dan rahmahMu ya Allah

fauzirashid
09.09.09

07 September 2009

Hairaki

tuan
puan
tuan muda
cik muda
comot
amah

inilah
hairaki rumah

fauzirashid
(comot - seekur kucing)
8.9.09

06 September 2009

Angkara Hutang

aku dibelenggu hutang
tak mampu kuberjuang

hanya kumampu
jadi manusia petualang
memperkosa diri
menjadi balaci

fauzirashid
(untuk mereka yang memekik lantang berjuang kemudian mengkhianati perjuangan suci membawa perubahan)
25.8.09

05 September 2009

Kota

ribuan pusara
mengelilingi biara tua
rimbunan cemara

ada tembok panjang
dihuni manusia terbuang
bebas terampas

aku terus ke muzium diri
menatap patung-patung
manusia kolong

tombak dan tengkorak
diletak
di atas rak-rak

fauzirashid
(menapak satu sudut kota Taiping)
5.9.09

04 September 2009

Kembara Diri

dalam luas diri kucari dalam laci-laci sebuah teka-teki
yang menyimpan nota-nota fitrah anugerah
kucari pangkal dan hujung tali temali benang diriku yang kusut
yang membawa zarah-zarah dan butiran yang kian pekat
lemak dan daki nafsu mendak pada talian hayat
yang mengalir darah mendenyut jantung dengan degupnya yang kian murung

baru kusedari aku meniti di atas selembar benang yang Kau regang
lantas mengimbang diri selangkah demi selangkah menghampiri
semakin dekat semakin dekat menuju titik Zat

aku yang lelah dalam kembara diri mencari titik pasti
masih belum lagi kutemui

fauzirashid
14 ramadhan
4.9.09

02 September 2009

Benderaku

tanpa gentar
benderaku berkibar
bulannya bersinar
bintangnya mekar
jalurnya melebar


dengan semangat berkobar
talinya kupintal
pada satu takal
pada tiang cekal
jalurnya pun menjalar

berkibarlah benderaku
hai berkibarlah
biar kau diusung anakku
melangkah waktu

fauzirashid
(sempena kemerdekaan negara 52.
pada menyaksikan bendera yang dikibar
- mengertikah bendera itu akan nurani watannya? atau mengertikah watan
yang ke hulu-ke hilir mengibarkan bendera? apa tuntutannya?)
31.8.09

Belum bertajuk

  Di sangkak tradisi Dieramnya generasi buat menyambung legasi Menetaslah wajah-wajah baru dari kehangatan kasih