31 Oktober 2009

Giliran

(ketika aku menziarah kematian isteri sahabatku Mior
kulihat ramai sanak saudaranya sampai dan berpelukan
dengan wajah murung, kusaksikan ada yang menangis dan
ada yang memujuk dan ini menyentuh hatiku dan serentak
teringat aku akan puisiku ini yang pernah kutulis dulu..)

setiap saat umpamanya
kita bergilir-gilir memasuki
gerabak yang akan pergi membawa
entah ke mana tanpa hujung landasan itu

jika sampai umpamanya
giliran engkau untuk melangkah
engkau tidak sempat lagi berundur dan menengadah
kerana pintu akan ditutup roda akan meraung
dan kau akan dibawa oleh gerabak
meninggalkan berjuta degup murung

adalah lebih baik di sini umpamanya
kau sentiasa memastikan
berdiri di baris yang lurus
sambil menunggu giliran memerhatikan sepatu
menggilapnya dari serpihan debu

fauzirashid
16.9.87
subway tokyo

30 Oktober 2009

Pinta Sang Pintu

semua ku sanggup
cuma kupinta
bila kau buka
tolong kau tutup

fauzirashid
30.10.09

28 Oktober 2009

Haru Biru

ini puisi mudah
negeriku ini dua mb
bersidang dalam satu dewan
penuh kekecohan

ada yang haram
ada yang sah
pilihan kami anak negeri
tak sangka dalam negeri kami
dalam jaman moden begini
lanun dinobat jadi mb
menguasai hidup kami

anjing adalah alat
gigit mangsa
kemunafikan merajalela
kemungkaran menjadi raja
kami anak bangsa tak bisa
buat apa-apa
tengok aje

fauzirashid
sidang dun
28.10.09

27 Oktober 2009

Baju Bulu

telah sampai waktu
untukku menyarung
baju bulu
kelabunya menjala mata
dalam gerabak yang bergerak

kukepal tangan
menyeluk kekocik
nanti sampai waktu
kubebaskan jari
menjangkau sebiji bulan petang
dimendung langit

kumengerti sudah
baju buluku
kian kelabu
dalam gerabak yang bergerak
meredah salju

fauzirashid
(coretan kesejukan di jepun)
1987

25 Oktober 2009

Gempa

gempa adalah petaka adalah petanda
murka tuhan pada kesyirikkan. keingkaran tangan-tangan
manusia rakus. tersimpang dari jalan lurus

adalah petaka dari leka hambanya kita
mendabik dada atas bongkah-bongkah isme kaum
menindas. mencantas
menginjak. menghentak
lantai kemanusiaan fitrah tuhan

maka gempa itu adalah segaris peringatan!
jannah pada manusia sufi
nar pada kau yang ingkar

fauzirashid
(mengenang korban gempa di Padang. Alfatihah untuk mereka yang 'pergi'. Semuga roh dicucuri rahmat Ilahi. Amin)
25.10.09

23 Oktober 2009

Si Bacul Itu

umpama panglima gagah perkasa
dia muncul tetiba menghunus keris pusaka
hidup bangsa! hidup bangsa! hidup bangsa!
dewan pun bergema
sahut menyahut pekikkan bersiponggang
menjadi bunyi puisi ngeri dalam geragap semangat remang tengkuk
sokong menyokong meninju langit kosong
dalam genggam padat bersemangat

aneh sungguh !
bila musuh menyepi diri
gerun dengan keris pusaka yang dihunus membenam dada
tetiba dia yang menghunus bengis
menyembah ampun memohon maaf
lagak umpama sibacul tua
dalam rentak langkah silat yang tempang
lalu kembali menyarung keris pusaka
tak berani lagi berbicara

fauzirashid
22.10.09

16 Oktober 2009

Sendaloka

setelah santai
menikmati sendaloka dan hilai
di pentas besar
dengan lakunan layar
pelakon tunggal
mereka pun keluar
dengan gah dan
kembali lapar

fauzirashid
16.10.09

Belum bertajuk

  Di sangkak tradisi Dieramnya generasi buat menyambung legasi Menetaslah wajah-wajah baru dari kehangatan kasih