18 Februari 2014

Tengkujuh

bilah-bilah menjunam
percik bersinar
guntur meroboh
langit hodoh

saat itu
hari menangisi
nasibnya sendiri

dan aku
di lantai diri
pasrah pada Ilahi


16 Februari 2014

Biar Aku

biar aku bersama burung di awan terapung
menggapai mentari di langit tinggi
menggengam bulan. mengutip bintang

aku akan terus berpuisi di pantai sepi
di gelora laut mendayung aksara
bersama ikan bersama siput bersama pelaut
menaakul pasang dan surut

Bonda

i.
bonda
telah kau harungi belantara
tanah pusaka ini
merentes perkebunan hidup
tanpa ayah

bonda
tulang-tulangmu telah lusuh
melagang langkah demi langkah
menganyam masa depan
hidup kami

bonda
kau tetap pasrah
menggobek sireh kehidupan
dan mengunyah pedasnya waktu
untuk kami

ii.
bonda
disetiap detik malam yang dingin
kau bertasbih buat seorang kekasih
pasrah menunggumu di pusara

29 Ogos 2013

Merdeka? Maaf Tuan!

i.
maaf tuan
aku belum rasa merdeka
seperti yang tuan canangkan di akhbar

saban hari sedari subuh sepie
aku meredah belantara
mencari rotan yang sukar lagi kutemui
demi sesuap nasi anak isteri

temanku hanya unggas dan
binatang buas yang hanya
menanti gerakku yang alpa

ii.
maaf tuan
aku tak pernah rasa merdeka di hati
seperti yang tuan hebohkan di radio tivi

kerna rumahku di bawah jejambat ini
bertemankan sianjing kurap
menghidu debu dan lendir kota
saban hari mengutip sampah 
menggalas perut
meneruskan hidup

iii.
maaf tuan
kami belum rasa merdeka
seperti yang tuan canangkan di akhbar

maaf tuan
kami  tak pernah rasa merdeka di hati
seperti yang tuan hebohkan di radio tivi


(Selamat Hari Merdeka ke 56)
30.8.13


07 Julai 2013

Peristiwa Mesir

wahai keturunan sang Penakluk Agung Ibn Al-Ash dan Salehuddin Al-Ayubi
telah tertegak semula kebangkitan dan kebebasan
legasi nenek moyang kamu yang agung sebagai pahlawan gagah berani
mencantas saki baki firaun yang berkurun merantai kaki-kaki nenek moyang kalian
dengan perinsip dan ketemadunan tuhan

dan sebentar...
keladak-keladak baltoji menyekat nilmu.  kembali mengalir lesu
ruh kalian diperkosa oleh kudeta laknatullah itu

dan nasib sentiasa menunggu keputusan
apakah kalian mahu kembali ke rumah. istirehat!

atau kalian teguh bersemangat Ibnu Umar
menghunus pedang mencantas setiap zarah kebatilan
biar terbakar seluruh gurun yang kontang

sehingga...
kebenaran di atas tempatnya
kebebasan di landasannya
syariat ke asalnya
adakah kalian rela
syahid ditanganNya?


Menjelang dinihari pagi 4 Julai 2013...rampasan kuasa dan perkosaan demokrasi
7.7.13


Belum bertajuk

  Di sangkak tradisi Dieramnya generasi buat menyambung legasi Menetaslah wajah-wajah baru dari kehangatan kasih