07 November 2011

Masjid Tua

di penjuru mehrab itu
waktu berdebu
bilah-bilah mengikut jejak langkah bandul
terhenti dan terkaku

dan di lantai itu
najis hitam putih
berserakan
hanya tiang-tiang terpacak
jemaah tua bersandar
menunggu maut

fauzirashid
1 muharam

04 November 2011

Catatan Orang Kurang Siuman2

kudengar iblis berdoa
" biarkan..biarkan..
biarkan aku menyesatkan anak adam
agar mereka dapat bersamaku
ke neraka jahanam"

dan tidak kudengar lagi
suara dari tuhan...

fauzirashid

02 November 2011

Catatan Orang Kurang Siuman1

kehidupan itu adalah....
kayuhan tanpa henti di lautan yang bergelora; adalah
perjalanan suka duka yang berjela-jela; adalah
langkah meniti jeriji mimpi; adalah
dari dahan ke dahan realiti kehidupan itu
adalah...diri yang sekelongsong tanpa inti dan;
kian mereput dari dalam dan;
menipiskan kulit diri dan kian;
kehidupan tersudut pada jerejak dosa yang
dibalut debu-debu hitam yang
beterbangan...tanpa tuhan!

fauzirashid
2.11.11

27 Oktober 2011

Kesengsaraan Seorang Penagih

kukutip serpihan duka
seorang dia yang
meniti bilah-bilah kehidupan
dengan ranjau yang berbisa

bahawa perjalanan mengheret hidup
adalah umpama menempuh lautnya baraan
kadang-kadang tersudut dalam kegelapan
kadang-kadang dihentak guntur dari langit

sebuah kehidupan...
seorang dia yang selamanya derita
akibat meneguk serbat syaitan
dan menyedut jerebu dari neraka

fauzirashid
27.10.11


23 Oktober 2011

Umang-Umang II

diapun merangkak dalam cengkerang dusta
melewati pepasir senja yang tidak lagi berpelangi

bila ombak membawa desahan angin
diapun terus menghilang
menyusupi lubang-lubang

fauzirashid
23.10.11

16 Oktober 2011

Masihkah Kau Ingat

senja itu tika kita berdua
menghuni pantai; mendengar desahan ombak
kau dan aku asyik berdakapan dalam serbuk gerimis

masihkah kau ingat...
tika kau menudingkan jarimu
ke arah pelangi senja dengan tujuh warna rindu
dan kau tafsirkan warna-warna itu
bersama lengkung harapan kita yang satu;

sedang aku asyik membilang kepulan awan
yang bergantungan di langit ;

masihkah kau ingat
duhai kekasih


15 Oktober 2011

Biara

biara tua
kelilingnya pusara
di depannya
ada tembok panjang
penjara usang
dihuni mereka-mereka yang terbuang

di luar
kita seolah manusia maksum
tanpa menjinjing hukum

biara tua
kelilingnya pusara
menyimpan ribuan
derita bangsa

fauzirashid
(Taiping)

Belum bertajuk

  Di sangkak tradisi Dieramnya generasi buat menyambung legasi Menetaslah wajah-wajah baru dari kehangatan kasih