14 Oktober 2011

Kegilaan Itu

bila beduk telah mula diketuk, jarumpun mula dicucuk
perekayasapun mula mencipta sandiwara
seantero mayapun ditebar fitnah dan lucah
mahu melogikkan perkara yang tidak masuk akal

fauzirashid
14.10.11

13 Oktober 2011

SAAD PERPISAHAN

ketika keningmu kukucup
di malam perpisahan itu
bulanlah yang menjadi saksi
mengambangkan mimpi

pungguk tidak lagi mampu berlagu

di malam yang keharuan itu...
engkaupun melangkah pergi

fauzirashid
13.10.11

Dan

dan tuhankah yang izinkan
syaitan-syaitan membengkokkan
lorong-lorong hidup anak adam
ke ruang gelap gitap
dengan takdirnya yang hanyir

dan kita selalunya tidak termampu
bertahan di bawah panji-panji diri
memperkosa laungan azan dengan
panggilan nafsu di roda liburan

dan terdamparlah cinta antara kita
di pulau rindu yang tidak kesampaian

dan demikian usia itu terlalu sering
menghentak kulit ingatan
kian meretak dilanda
dosa-dosa perjalanan

fauzirashid
13.10.11

10 Oktober 2011

LAUT

saban waktu aku
terlalu sibuk
menolak ombak ke daratanmu

dan kau pula pepasir pantai...
tika kuserahkan ombakku ke pipimu
puing-puing yang putih dan bersih;
meresap ke dadamu
saban waktu

akan terus kukunjungimu
duhai pantai;
andai engkau
masih setia
menerimaku

fauzirashid

SUNYI...OH BETAPA

dapat kudengar desir
kepak kelkaktu
menyentuh dedinding lampu
kamarku

dan betapa hingar
kudengar
sang cicak merangkak dinding kamar
sambil melontar lidahnya
memadatkan temolok diri

ooo...betapa sunyi
di kamarku sendiri
malam ini

fauzirashid
10.10.11

20 Ogos 2011

Usia

i.
kian mengalir
dari hulu ke hilir
umpama air
menyeret pepasir

dari gunung yang tinggi dan gah
akur pada graviti tuhan
lalu hanyut ke lautan
memasinkan diri

ii.
dan situa daif itu
terus mengutip sampah kota
dari dosa-dosa manusia
yang bertebaran

iii.
dan perempuan itu
asyik mengunyah takdirnya yang pedas
lalu menghamburkan liurnya yang merah
ke aspal yang parah

iv.
dan...
usia terus mengalir
diseret takdir
umpama air menyeret pepasir

v.
demikian
usia meretakkan kulit ingatan
kian mencetak dosa-dosa perjalanan

fauzirashid
20 ramadhan 1432


07 Ogos 2011

Ramadhan

i
pintu syurga pun terbuka
pintu neraka ditutup
dan syaitan dipasong oleh tuhan

ii
permulaannya rahmah
pertengahannya magfirah
dan penghujungnya
pembebasan dari nar tuhan

iii
dan aku di sini
cuba berdiri sepanjang malam
di atas sejadahMu yang terbentang
mencari lailatulkadarMu
duhai tuhan...

fauzirashid
7 ramadhan 1432H

Belum bertajuk

  Di sangkak tradisi Dieramnya generasi buat menyambung legasi Menetaslah wajah-wajah baru dari kehangatan kasih