16 Oktober 2010

Lorong ini

han...
sebuah lorong yang lurus ini
kian mengecil dan semak untuk kulalui
lalang-lalang hidup menutup jalan
rebungnya tumbuh menujah
setiap tapak pada langkah
menumbuh darah
kulit kakiku kian tercedera
untuk kuteruskan langkahan

begitulah han...
sebuah desa kehidupan
yang telah lama kami tinggalkan
hidup dalam metropolitan sesat
padat dengan penyangak dan penyengat

dan
sebuah lorong yang lurus ini
tidak lagi dipedulikan
tidak lagi direntes
penguasa membiarkan sebuah lorong yang satu-satunya sebuah lorong itu
dipenuhi najis-najis binatang
yang lalu-lalang

fauzirashid

09 Oktober 2010

Sebuah Basikal

akan mereput
sebuah basikal itu
yang bersandar
pada tembok belakang rumah

rodanya dibulut ulan
pengayuhnya dibulut ulan
hendalnya dibulut ulan
breknya dibulut ulan

sitnya koyak
matgadnya patah
lampunya pecah
locengnya ketat
rantainya berkarat

sebuah basikal itu
kian tersungkur
kian uzur

fauzirashid

26 September 2010

Terpinggir

kerna kita
tidak pernah memperdulikan
ayunan bandul yang kian
perlahan menuju kematian

hanya kerna kita
terleka tidak mahu memperdulikan
gerak jarum yang merentas garis demi garis;
adalah perjuangan panjang yang tidak bernoktah

kita kini terpelosok
menjadi kelompok yang terpinggir
yang kian
dilukai waktu

fauzirashid
(Lead View Hotel 25.9.10)

20 September 2010

Hulurkan Bantuan

apakah kita tidak lagi sudi
menyantuni anak-anak gaza
yang di penjara oleh laknatullah zionis
dengan sekupang dua yang kita ada

hulurkanlah bantuan
mereka saudara kita sedang
kelaparan
kesakitan
ditindas
dipenjara
disiksa

fauzirashid
(ketika ini sedang kita asyik dengan jamuan raya
saudara kita, penduduk gaza sedang dikepong tentera zionis
menjadikan gaza merupakan sebuah penjara yang terbesar dalam sejarh manusia)

18 September 2010

Kita Yang Terlalai

dari
sebuah mimbar tua
seorang khatib asyik
merenjis khutbah
dari bejana tuhan

dan
di lantai marmar itu
kulihat
makmum 'khusyuk'
mengintai mimpi demi mimpi
demi mimpi dirasuk dingin hawa

sedang
di dinding rumah itu
yang kian retak
tak henti-henti
jarum kecil melangkah garis demi garis
demi garis mengikut rentak
ayunan bandul

fauzirashid
jumaat 8 syawal 1431H

14 September 2010

Khatib Tua

di hadapan jemaah
seorang khatib tua
tetap mahu
berdiri di mimbar
sambil terketar-ketar
membaca khutbah
yang tidak lagi kami fahami
biji dan buah

di belakang mimbar
kulihat bandul terus berayun
menggerakkan jarum waktu
dengan iringan bunyi tik-tak tik-tak
meretakkan lagi
rekahan dinding
masjid kami

fauzirashid
(di masjid Tanjung Kepah..Pagi Syawal)

04 September 2010

Kelabu

bulan kelabu
dilangit biru
di subuh bening itu

bayu menggigit kulit
belon-belon embun di dusun
bergayut di hujung daun

kucari rinduku yang hilang
kucari cintaku yang terbang
kucari kasihku yang terbuang

bulan tetap kelabu
di langit biru
di senja itu

bandul waktu terus menghentak
belonku terus mengecil
dalam tarikan nafasku yang menyesak

fauzirashid

Belum bertajuk

  Di sangkak tradisi Dieramnya generasi buat menyambung legasi Menetaslah wajah-wajah baru dari kehangatan kasih