01 April 2011

Catatan Lama Di Rumah

DALAM PERJALANAN KE TSUKUBA - 1.6.1987

Sawah sawah terbentang di kiri kanan. Kami melalui highway yang besar. Dari Kitasenju ke Tsukuba kira-kira satu jam perjalanan. Tsukuba terletak di luar kota Tokyo. Sebuah bandar (tempat) pusat penyelidikan. Bandar Sain bagi negeri Jepun, pusat Nuklear dan pelbagai pusat penyelidikan lain terdapat di sini. Kami melawat pusat penyelidikan bangunan.

Bas membelah highway dengan laju. Satu ketika nak sampai dah, pemandu bas tersilap jalan untuk memasuki pusat itu. Terpaksa patah balik. Tak jauh lah. Ada masanya kami melalui kebun-kebun sayur (agaknya projek pusat penyelidikan pertanian). Ah! Aman dan tenangnya pemandangan itu. Tapi di sawahan ini tiada nampak burung-burung terbang (ketika melewati kawasan penanaman padi). Bukit bukau terbentang dihujung mata. Nun di satu ketika Gunung Tsukuba kelihatan gagah menongkat awan. Megah!

2.6.1987 - Semasa aku bangun pagi tadi (aku terjaga pukul lima pagi) aku nampak matahari memacak dilangit sudah. Cahayanya sudah mengintai ke kamar. Aku terkejut. Tetapi tidak panas. Jadi kerana dek mengantuk, aku teruskan tidurku.

2.6.1987 - Kami kumpulan T9 melawat kilang besi yang bernama Nippon Kokin Keihin yang besar terletak di atas pulau buatan yang luas. Amat mengkagumkan dengan pulau buatan manusia ini. Kilangnya yang advance dan besar sekali sehingga gedung buat besi kepingan adalah 1km panjangnya.

Kulihat besi merah melalui roller yang disimbah air beberapa kali selepas dipress pada mesin yang fully automatic tanpa kulihat ada manusia yang bekerja. Ini adalah kerja fikiran manusia bukan tenaga yang lebih utama. Betapa pemikiran dapat bekerja setenaga dengan halilintar.

Sepanjang perjalanan di kilang ini kami menempuhi bandar seperti Tokyo, Kawasaki dan sebagainya. Betapa hebat! Lapisan lebuhraya dan subline keretapi berselirat. Jalan dibina sehingga di atas sungai (menutupi laluan sungai). Kilang-kilang di kiri kanan jalan, besar dan gagah bekerja menghasilkan produksi.

Tuhan…berikan hambaMu ini

Pilihan-pilihan yang benar

Menuju saat-saat yang tepat

Bukan dari lelehan salah dan lalai

Hindarilah hambaMu yang lemah

Dari keterlanjuran yang terlalu parah

Batas-batas kemestian yang keras

Yang Engkau anjurkan.

1 ulasan:

Belum bertajuk

  Di sangkak tradisi Dieramnya generasi buat menyambung legasi Menetaslah wajah-wajah baru dari kehangatan kasih