20 Ogos 2011

Usia

i.
kian mengalir
dari hulu ke hilir
umpama air
menyeret pepasir

dari gunung yang tinggi dan gah
akur pada graviti tuhan
lalu hanyut ke lautan
memasinkan diri

ii.
dan situa daif itu
terus mengutip sampah kota
dari dosa-dosa manusia
yang bertebaran

iii.
dan perempuan itu
asyik mengunyah takdirnya yang pedas
lalu menghamburkan liurnya yang merah
ke aspal yang parah

iv.
dan...
usia terus mengalir
diseret takdir
umpama air menyeret pepasir

v.
demikian
usia meretakkan kulit ingatan
kian mencetak dosa-dosa perjalanan

fauzirashid
20 ramadhan 1432


07 Ogos 2011

Ramadhan

i
pintu syurga pun terbuka
pintu neraka ditutup
dan syaitan dipasong oleh tuhan

ii
permulaannya rahmah
pertengahannya magfirah
dan penghujungnya
pembebasan dari nar tuhan

iii
dan aku di sini
cuba berdiri sepanjang malam
di atas sejadahMu yang terbentang
mencari lailatulkadarMu
duhai tuhan...

fauzirashid
7 ramadhan 1432H