19 April 2011

Catatan Lama di Rumah 3

HOTEL CENTRAL INN.

Antara Hiratsuka dan Hakone – sawah terbentang. Gunung yang membentang di hujung- membiru. Seketika nun di kejauhan terpapar kemasyhuran bagi Jepun. Gunung Fuji yang terkenal itu. Tetapi diufuknya awan berkepul pekat. Di kiri Sagami wan (Laut) membentang.

Tadi Kobayasi menuding ke arah kanan. “arey wa fujisan nga miemas” katanya sambil separuh berdiri merenung ke arah kami. Jepun yang bergunung-ganang. Di lereng-lereng dan di kaki-kakinya, rumah berderetan!

9.52 pagi melewati Atami. Di kiri ada sebuah pulau. Melewati terowong. Tanna Tunnel.

Zul memberitahu “speednya 230 km/h” .

Orang jepun ni suka tidur di dalam semasa dalam perjalanan- di bangku - adakah sedang membina harapan masa depan?. Dan di sebelahku, di bangku kanan sedikit depan, sedang membaca buku.

Di Jepun ini di mana-mana ada jejantas untuk laluan lebuhrayanya. Barangkali kerana negara mereka bergunung-ganang.

10.37 pagi melewati Hamamatsu. Sungai yang berbatu.

Baik di sawah padi mahupun di kawasan perumahan, transmition line berselerat ke mana-mana, membawa nadi kemajuan manusia.

Sampai di Nagoya, jam 11.05 pagi. Turun daripada singkangsen, makan tengahhari di steysen. Tempura dan nasi berharga 900 yen. Makan beramai-ramai dan mengambil gambar. Nagoya – sebuah bandar yang besar juga.

Jam 11.45 pagi naik bas.

Seketika kami melewati benteng Nagoya yang dibina pada 350 tahun yang lalu.

Arimato siboru - benang yang telah dicelup dibuat koogehin (kraftangan).

Juga di Nagoya terkenal dengan tooki (siramik).

Perjalanan ke kilang Mitsubishi ini panas. Jam 11.45 pagi. Sekitar bandar Nagoya ini tak putus-putus hutan batu.

Di Nagoya Mitsubishi, kami melihat kilang kapal terbang baik dari jenis fighter mahupun helikopter. Betapa tingginya teknologi yang telah orang jepun perolehi. Apakah kualiti yang ada pada mereka yang menyebabkan mereka maju?
1. Semangat bekerja yang kuat. Bekerja adalah satu kemistian. Bukan saja untuk gaji tetapi berkhidmat untuk kumpulan dan negara.

2. Kesetiaan kepada kerja dan syarikat walaupun gaji diberi rendah, mereka menetap di satu tempat sehingga pencen. Adalah dipandang rendah oleh orang jepun apabila seseorang bertukar ke syarikat lain, atau dalam kata lain asyik bertukar kerja sahaja.

3. Sivik orang jepun yang tinggi. Apakah kerana dibentuk oleh sistem pendidikannya?

4. Menepati waktu dengan sungguh-sungguh.


Jam 4.50 petang, kami berangkat dari Nagoya Eki ke Kyoto. Kami menempuhi sawah terbentang, lereng bukit di kiri kanan. Terowong-terowong panjang yang selama 5 minit untuk melepasinya. Oh..indahnya panorama dunia ini daripada nagoya melewati Ogaki dan Hikone.

Jam 5.27, Cuaca biasa dengan pemandangan hijau. Rumah-rumah orang Jepun ini berselerak di sawahan. Sistem kelompok. Semuanya indah pemandangannya. Rumah-rumah pangsa terdapat di sawah-sawah juga tempat sekolah serta lain-lain tempat aktiviti kehidupan. Nampaknya orang Jepun ini terlalu menghargai ruang (tanah). Di mana-mana tanah digunakan samaada rumah atau sawah.

Lebih kurang jam 6.00 petang, sampai di Kyoto Central Inn Hotel. Aku dibilik 653. satu bilik seorang. Hotel yang lengkap dengan TV dan sebagainya. Malam, aku ronda dengan Kobayasi, Lee, Mat Nor dan seorang budak Cina. Merasa makan ala Jepun.

Malam pulang jam 11.45 dan tidur lebih kurang jam 1.15 pagi.

Jam 6.50 pagi bangun. Minum pagi- roti.

Berjumpa dengan budak YKC. Menaiki teksi ke Sanfusan Gendo Otera. Sebuah otera yang telah dibena sekitar 700 tahun dahulu. Di dalamnya penuh dengan patung-patung Buddha dan terdapat sebuah patung Buddha yang besar. Ah alangkah kesenian yang tinggi telah ada di masa lampau.

Mr Lee menerangkan pelbagai hal tentang otera dan patung. Dari situ aku mengerti bahawa orang dahulu dapat menghasilkan kesenian yang sangat halus kerana mereka bekerja bukan bertujuan kewangan tetapi ketulusan hati yang tinggi. Keadaan rohani yang sungguh berbeda daripada yang ada pada manusia kini, maka mereka menjadi rahib-rahib rohani dan ahli tukang pahat di kuil-kuil yang terlalu tinggi nilai mutu keseniannya.

Kuil ini besar dan diperbuat daripada kayu-kayu lama bermutu tinggi yang tanpa menggunakan paku. Ah..malangnya di sini tidak dibenarkan mengambil gambar.

Kesedaran : Zaman ini, duit telah merubah kehidupan manusia daripada mempunyai darjat kemanusiaan yang tinggi dan suci kepada kejahatan.

Patung-patung diperbuat daripada kayu yang dipahat dan disadur dengan warna perak.

Keluar daripada Otera ini berjalan kaki ke Otera Kiyomizu. Berjalan kaki selama lebih kurang 10 minit. Hujan lebat sekarang. Hujan pagi di Kyoto membasahi otera-otera tua yang mengeram sejarah pada dada bukit. Otera-otera seolah seorang ibu yang aman mengawal anaknya. Seolah sedang menasihati manusia-manusia baru agar melihat kehidupan ini secara harmoni.

Kuil Kiyomizu ini di atas bukit. Kami berpayong mendaki bukit ini. Ah alangkah ramainya orang yang melawat. Terutama murid-murid sekolah menengah Jepun. Di sini kesenian yang tinggi terpapar. Terdapat air daripada pancuran yang kononnya mendapat berkat apabila diminum.

Kyoto dahulu menjadi ibu negara Jepun. Mengapa kini Tokyo dijadikan ibu negara mereka? Mengapa pertukaran ini berlaku? Apa falsafah dan pengajarannya? Ya.. ini adalah kerana manusia telah meninggalkan falsafah (budaya) kerohanian kepada budaya kebendaan. Kyoto adalah kota yang penuh dengan bangunan otera-otera tua yang traditional dan penuh dengan kebudayaan silam.

Tetapi Tokyo adalah kota batu yang berlumba mahu menongkat langit, penuh kesibukan dan kebisingan. Di Kyoto, terutama di bukit-bukit oteranya penuh kehijauan dan kedamaian seolah seorang ibu.

Selepas melawat Kiyomizu Otera, kami berangkat lebih kurang 12.30 melewati rumah orang Kyoto yang berbentuk traditional. Rumah mereka rapat-rapat dan diantara bari itu ada lorong yabg diturap dengan batu blok. Pintu-pintu pagar mereka ada gerbang yang unik, stail ala Jepun kuno. Rumah mereka antik kecinaan.

Hujan diperjalanan. Entah apalah celakanya aku telah kehilangan rakan-rakan jadi aku tersesat. Inilah kelemahan aku, susah untuk mengingati tempat dengan baik. Nak cari Central Inn sudah tak jumpa. Habis akulah yang paling lewat.

Dari Kyoto, 2.50 kami menaiki densya untuk ke Toyama. Perjalanan jauh. Hari ini mendung saja. Awan menutup langit menjadi muram merata-rata. Di densya ini saya di bangku sebelah kanan (11A). Jadi aku dapat melihat Tasik Biwa-ko yang besar itu. Di tebingnya ada sawah-sawah dan rumah-rumah orang Jepun. Oh alangkah indahnya pemandangan ini – Tasik air tawar yang melaut besarnya. Di sebelah kiri ada banjaran-banjaran gunung Hira-Sanchi yang kehijauan dengan pepohon.

Tadi aku mengambil gambar Kyoto Tower – semasa sebelum mahu menaiki densya iaitu di luar Kyoto Station.

Lebih kurang 33 minit menaiki, singkasen ini memasuki ke dalam terowong yang panjang selama lebih kurang 7 minit. Hujung tasik Biwa-ko pun ditemui. Terlalu indahnya pemandangan ini, dengan sawah membentang, rumah-rumah yang comel serta hujung tasik yang tersepit diantara dua banjaran tinggi.

Seketika tadi Hanifah – seorang rakan dari YKC datang duduk di gerabak ini.

Tadi juga melalui tempat Imazu – kawasan tani yang ramai penduduknya.



diantara dua lereng
kita di gerabak ini lewat
di dalam hari yang muram
tanpa jelingan dari matahari

kita sampai di Tsunaga yang berasap
oleh industri
landasan-landasan yang terbaring menanti
gerabak dengan setia.

densya ini pun berhenti di Tsunaga Station
selama dua minit.
apabila wisel dibunyikan
gerabak inipun mula meluncur


3.48 melewati terowong yang panjang ini.
ah. bukit… di bawah perutmu gerabak ini
melewatimu.
membawa kehidupan yang penuh penghijrahan

Badan keletihan juga. Pada kesempatan di dalam terowong ini aku menulis puisi ini.


betapa fikiran
telah membelah gunung



3.55 terowong ini tamat

Imajo. Penempatan kecil yang nampaknya agak baru dibangunkan.

1 ulasan:

Belum bertajuk

  Di sangkak tradisi Dieramnya generasi buat menyambung legasi Menetaslah wajah-wajah baru dari kehangatan kasih