25 April 2011

Catatan Lama di Rumah 4

Di Tateyama


Imajo. Penempatan kecil yang nampaknya agak baru dibangunkan.

Sekarang tiba Midagahara yang penoh salji. Pohon cemara di kiri-kanan. Salji memutih di lereng-lereng. Cuaca sejuk. Kabus memekat. Jalan raya ini agak curam dan bengkang bengkok. Kami menaiki bus. Jam kini 3.45 petang.

Wah ! Salji di mana-mana. Pokok tirus diam membatu di dalam kabus yang pekat. Seketika ada cahaya matahari menerjah ke dalam bus. Pokok-pokok di sini terutama pokok renik kelihatan ganjil – daunnya yang sedikit dengan ranting-ranting yang berselirat.

Cahaya matahari cerah sekarang. Jam 5.45. Salji di sini adalah salji abadi atau salji yang kekal sepanjang tahun. Di kiri-kanan puncak-puncak gunung disulami dengan salji putih. Cahaya langit biru cerah.

Kami akan sampai di Tateyama jam 6.03 petang.

Langit,

matahari,

salji,

batu,

pokok

dan aku.

Apakah unsur ini?

Bangun jam 4.30 pagi - cuaca sudah terang dan matahari telah bangkit dari celah gunung salji. Kami bangun dan mendaki ke sekitar. Kobayasi San juga bersama. Salji beku keras. Angin sejuk menggigit tulang.

Ah! Salji di mana-mana. Di lereng gunung-ganang. Kami mendaki sampai ke tempat yang ada banyak pokok renik. Matahari memancarkan cahaya nun di kemuncak bukit-bukit. Dan… wah indahnya cahaya putih salji yang berkilauan.

kekosongan akan terus…

mengalir ke tubuhku menjadi darah

yang memesankan seluruh nasib diri

menjadi begini

harapan…

menjadi debu dan asap

yang ke luar dari serombong- serombong

menjadi awan hitam

angan-angan…

masih mengharap

agar kehidupan sebuah aku

menjadi sebahagia mungkin

…………….sebahagia mungkin

tetapi………….

tetapi…………

mahu kubina

sebuah mahligai

di bukit tinggi

setinggimu tateyama

di sekeling salji suci.

tapi tateyama…

kau perlu beritahu aku…

siapa…siapa yang

mahu bersamaku

tinggal bersamamu

menghuni putih suci

(Puisi ini ditulis di dalam buku alpine route tateyama and kurobe- yang kubeli semasa melawat tateyama 10.6.87 –Rabu)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Belum bertajuk

  Di sangkak tradisi Dieramnya generasi buat menyambung legasi Menetaslah wajah-wajah baru dari kehangatan kasih