27 Januari 2011

Santa Klaus

santa klaus tidak turun dari langit pada 25 disember tetapi mereka turun beramai-ramai menabur pemberian pada tarikh kematian seorang yb

fauzirashid

25 Januari 2011

Tenang

sesudah satu kematian
di sini tiada lagi ketenangan

santa klaus asyik turun dari langit
menaburkan hadiah dari syurga
tanpa izin tuhan

iblis asyik turun dari neraka
menebarkan koran-koran fitnah
katanya dengan izin tuhan

sesudah satu kematian
di sini tiada lagi ketenangan

fauzirashid
(menjelang pilihanraya kecil Tenang 30 Jan 2011)

22 Januari 2011

Kenangan Satu Perpisahan

mar....
di senja yang merona jingga tika itu
dalam titisan-titisan gerimis yang membasah
saat itu kuamati matamu yang redup
basahan air jernih yang menitis di pipimu adalah:
titisan dari runtunan hiba yang terlalu sebak,
terlalu mendalam
cinta dan rindu kita...mar

dan mar...
tika pipi kita bersentuhan
dan kita berduaan merenung jauh lautan senja yang merona jingga
suara ombaklah yang membuai kasih kita tika itu...
masihkah kau ingat mar...?
sepasang beburung senja yang terbang pulang
menemui sarangnya yang hilang?

dan mar....
telah tertakdir
satu perpisahan di akhir persetiaan kita
dan bila malam memadam senja yang merona jingga
aku termanggu
mengingatimu saat itu

fauzirashid
(catatan buat mariah...semuga engkau bahagia bersama orang yang tercinta)

21 Januari 2011

Dongengan Tua

ketuanan itupun dilaung pada corong-corong nafsu serakah
untuk menguasai semua mantera bangsa
dan meranapkan doa-doa
para siddikin

tanpa haluan
sebuah ketuanan bisa mencabok atau
merentap setiap harakat nafas nusa
apakah kita masih terkeliru oleh lembar bahasa yang beracun

umpama jentayu menunggu gerimis di pohon
kemboja yang tak pernah berbunga di kuburan
gerimis pun tak kunjung membasah
daun-daun hidup
kian kering dan mereput

gersanglah sebuah ketuanan kerna
hanyalah slogan-slogan yang diusung
pada neraca pembelitan

kosong tanpa wajah
sebenarnya mereka yang menderhaka
menggarap semua
hak anak bangsa

fauzirashid

16 Januari 2011

Mana Mungkin

kau merak di istana kayangan
aku gagak di rimba belantara
mana mungkin kita bersama

kau bunga di taman larangan
aku rerama bersayap luka
mana mungkin kita bercanda

fauzirashid
(buat melani meliana - kota jakarta)

13 Januari 2011

Anak Kecil Itu

dikumpulnya butiran pasir
kulit-kulit siput
bilah-bilah karang

lalu
disimpannya ke saku diri

kemudian
dia memburu cengkerang hidup
ketam-ketam kecil
dan menggali remis
di gigi air
dengan asyik

fauzirashid
(satu catatan ketika kuperhatikan seorang anak kecil di gigi air
di hari keluarga kami di pantai feringgi)
22.12.09

11 Januari 2011

Dam Aji2

kugerakkan bidak-bidak mengikut rentak fikir
telah kubaca gerak bidak-bidak hitam yang mengintai ruang diri
setapak demi setapak aku mampu meraeh peluang
pada petak yang tepu dengan tipu dalih
di dataran hitam putih

akulah pemangsa
di pentas hitam putih yang terhad ini
membaham bidak-bidak yang berani menyekat jalanku

dan...
mahu kuulangi...!
siapa berani?

fauzirashid


10 Januari 2011

Dam Aji

diaturnya bidak-bidak dalam petak-petak yang empat itu
dua belas warisan yang akan menemui tuhan dihujung jalan
ikhtiar berlaga dengan ikhtiar
antara bidak hitam dan putih
anehnya pertarungan perlu melalui lorong hitam yang berliku
maut sebelum ajal miski pada langkah yang tersasar dari garis pikiran

maka satu pehak menolak bidak ke hadapan mengintai jalan
membikin musuh gentar
lalu membalas tolakan bidak yang misti
menyekat intaian lorong pada petak-petak

jika langkah sumbang dengan gangguan-gangguan sialan
miski bidak akan ditelan lawan semudah hujung jari
miski suara perli menggugat ikhtiar

pun begitu
umpanan-umpanan bidak yang melacurkan diri
menyelak peha monggil di barisan hadapan
pasti menggamit haloba
jika tergelincir percaturan
bidak-bidak diri akan diraih sekaligus
tiga atau empat dalam petak hitam itu

lantas mereka yang dahulu menemui tuhan
melilitkan diri jadi pemimpin terulung dan
kemudiannya berleluasa
kuasa membeli kuasa
menindas bidak-bidak lawan dalam pakatan yang longgar

bidak-bidak pasti ditolak ke hadapan
pentas ini tidak membenarkan tolehan ke belakang lagi
sekali berjuang pantang maut sebelum ajal
miski berjuang
mencari ikhtiar
demi ikhtiar
miskipun terpaksa menolak bidak
melalui petak-petak yang hitam

fauzirashid

04 Januari 2011

Ampun Tuanku

ampun tuanku
beribu-ribu ampun
sembah patek harap diampun

patek yang pacal hina
memohon sembah bahawa
setelah satu puak gelojoh itu
tidak lagi mampu bertahan dalam perjuangan
mereka sedang mempergunakan tuanku

ampun tuanku
patek takut pakaian tuanku terkena najis mereka
yang sangat busuk

ampun tuanku
dulu sewaktu mereka kuat
mereka perlekehkan kuasa tuanku
mereka pinda supaya
tuanku tiada lagi kuasa

semarak...semarak ...laung mereka
masa itu

kini tuhan membalas dosa mereka
mereka mahu tumpang kuasa tuanku yang masih bersisa

ampun tuanku
pacal yang hina
mereka itu mahu mempergunakan tuanku
untuk selamatkan mereka
dari perjuangan songsang mereka

ampun tuanku
beribu-ribu ampun
berhati-hatilah tuanku
kami tidak lagi percaya mereka
mereka hipokrit
mereka hanya ambil kesempatan
mereka mahu kekal kuasa
kuasa untuk sapu segala yangmasih bersisa

fauzirashid

03 Januari 2011

Bentuk-Bentuk

dunia bulat
bulan bulat
bintang bulat
matahari bulat

pada kita
angkasa bulatkah?
tuhan bulatkah?
kebenaran bulatkah?

pelangi melengkong
hidup melengkongkah?
pada kita...

di bawah tanda soal yang melengkong
titik bulat

bulat melengkongkah?
lengkong membulatkah?

di bawah tanda seruan yang tajam
titik bulat
pekat hitam

tapi kita bersegi
umpama ketulan besi

fauzirashid

02 Januari 2011

Mengenang lanskap Politik 2010 yang berlalu

Selamat datang tahun 2011 yang baru lahir.
Menyingkap lankap politik negara sepanjang tahun 2010.

Manusia yang paling berhantu, paling jahat yang mendapat liputan setiap hari dalam media elektronik mahupun media massa yang dikatakan perdana sepanjang tahun 2010 adalah tak lain dan tak bukan dari Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dia dijadikan bahan utama cercaan - dikatakan agen yahudi, pengkhianat negara, penderhaka kepada raja, pemecah belah bangsa melayu, penganut agama liberalisma dll.

Dia dan keluarganya menerima fitnah yang maha berat, meliwat dan pernah dikatakan bernafsu buas dengan meniduri ramai perempuan termasuk di mexico, amerika dan melakukan perbuatan terkutuk dengan isteri orang malah isteri rakannya sendiri. Dia dikatakan telah meliwat Munawar Anis, penulis ucapannya, Sukma, adik angkatnya dan kini meliwat Saifol, petugas yang secara tiba-tiba mempelawa diri membantu parti semasa pemilihan PRU ke 12.

Apa saja yang berkait dan berbangkit perihal DSAI akan menjadi bahan utama. Sesiapa yang punyai idea untuk memburuk hatta memfitnah dirinya akan diberi ruang dan liputan yang komprehensif di dalam media-media utama. Lantas Siaran Berita Jam Lapan di TV seolah menjadi siaran ala program Melodi di TV3 yang memaparkan gosip artis. Nilai berita dalam profesion kewartawanan hancur.

Semua perkara yang dilemparkan kepada DSAI hanyalah bersifat fitnah dan mehnah semata-mata. Sekurang-kurangnya sehingga habis tahun 2010 tidak ada satupun perkara yang dilontarkan berkenaan kerja jahat DSAI dapat mereka buktikan. Disebaliknya lebih dilihat sebagai langkah untuk melakukan pembunuhan karektor kepada ketua pembangkang yang sangat digeruni di parlimen ini.

Dalam melakukan pembunuhan karektor kepada DSAI ini sebenarnya banyak agensi dan intitusi awam turut terbunuh kebiwawaannya. Ia menyerlahkan agensi dan institusi tersebut menjadi alat kepada pemerintah pembuli yang berkuasa. Kalau ditahun 2000 dahulu badan kehakiman, PDRM, Peguam Negara dan Jabatan Kimia menjadi busuk oleh segelintir pihak atasan mereka yang dilihat secara nyata dipergunakan oleh elit penguasa, kini 2010 agensi lain turut dirosakkan seperti bidang kedoktoran dan JAKIM turut dipertikaikan kewibawaannya.

Kes Liwat DSAI masih tergantung begitu lama. Media perdana mengaitkan kelewatan proses mahkamah kerana helah DSAI. Tapi umum mengetahui bahawa kelewatan tersebut adalah kerana kegagalan pihak pendakwa mengemukakan bukti pendakwaan. Dalam kata lain Kes Liwat DSAI dibawa kemahkamah secara semberono dan bukti dicari semasa pendakwaan berjalan. Sebarang bukti pendakwaan yang sepatutnya diberikan kepada orang yang didakwa untuk persediaan membela diri sebagaimana yang dilakukan ke atas kes-kes yang lain tidak dilaksanakan. Sedangkan Tun Mahathir semasa mahu disapina dalam kes liwat DSAI 1 meletakkan syarat agar soalan dikemukakan dahulu sebelum beliau mahu hadhir ke mahkamah. Demikianlah tenat dan hinanya keadaan istana kehakiman negara. Untuk kes DSAI tuduhan boleh dipinda sesuka hati pada peringkat proses mahkamah berjalan.

Soalnya kenapa DSAI menjadi target fitnah dari 1998 sehingga 2010 ini? Benarkah DSAI adalah manusia terjahat dalam dunia sekarang ini? Tahap kejahatan yang dikenakan kepada peribadi DSAI adalah jauh lebih tinggi dari media barat melebelkan kejahatan Hitler, Musoloni malah ketua Mafia dan Ketua Yakuza di Jepun. Kalau mengikut perpektif pemimpin UMNO-BN, DSAI adalah pengganas, penjahat, melakukan perbuatan diluar tabii, penderhaka negara dan raja melayu dan mahu menghancurkan agama islam. Saya kurang faham mengapa mereka kurang menggunakan kes amalan rasuah ke atas DSAI.

Kenapa diri manusia Anwar menjadi target? Siapa beliau sebenarnya?

Beliau adalah Ketua Pembangkang di Parlimen. Berbekalkan pengalaman luas beliau di dalam kerajaan sehingga memegang jawatan sebagai TPM maka tentulah pemimpin UMNO-BN yang korup akan tergugat. Semakin lama DSAI di dalam parlimen maka pemimpin UMNO-BN akan tergugat. Banyak rahsia jahat mereka akan dibongkarkan oleh DSAI dan mereka tidak dapat menafikannya. Isu APCO adalah kes unik dimana beliau disingkirkan dari berkhidmat sebagai wakil rakyat selama 6 bulan di parlimen. Beliau dinafikan untuk membela diri. Bukti yang diterima pakai hanyalah surat penafian dari APCO sendiri. Speaker menggunakan kuasa secara semberono dan nyata berat sebelah dan tidak adil. Peristiwa ini turut menyingkirkan 3 lagi wakil PR yang mana mencemarkan institusi Parlimen dimata dunia. Parlimen dilihat seolah menjadi Parlimen Kanggaroo.

Kenapa DSAI menjadi target?

Kerana dia berjaya mengubah lanskap politik dari hegemoni UMNO-BN kepada sistem 2 parti yang menjadi 'Check and balance'. Sistem 2 parti sangat baik untuk rakyat & negara tetapi bencana besar buat UMNO-BN.

Beliau berjaya mencantumkan 2 parti yang selama ini dipecahkan oleh UMNO-BN melalui dasar pecah dan perintah. Pakatan Rakyat ( Keadilan, PAS & DAP) menjadi satu pilihan untuk rakyat memilih. Dalam kata lain buat pertama kalinya BN terpaksa menghadapi persaingan dalam mendapatkan kuasa. Pengalaman PRU ke12 membuktikan keperitan BN yang selama ini menang dengan mudah.

Kenapa DSAI menjadi target?

Kerana selagi DSAI ada, PR akan kukuh dan kian kukuh. Rakyat akan dapat membuat penilaian. Sikap boros, membazir, rasuah, amalan kroni dan lain-lain yang biasa mereka lakukan tidak lagi dapat diteruskan oleh BN. Projek mega untuk kroni tidak lagi dapat dibiuat dengan mudah dan akan dikritik oleh rakyat setelah mendapat maklumat.

Mengapa DSAI menjadi target?

Kerana pada perkiraan mereka, dengan menghapuskan dia dari persada politik, maka..........

(anda boleh menyambung tulisan ini...mengikut pandangan anda...)

fauzirashid