29 Julai 2010

Bila Bandul Jam Berhenti

kaliankan terkedu
kaku dan bisu
bila bandul jam itu tiba-tiba berhenti
di masjid yang terlalu tua usianya

dulu kalian tidak pernah memperdulikan
ayunan bandul yang kian kesat
atau mahu menjejak kekunci yang telah
kalian hilangkan

ketika serbok azan ditaburkan
bersama ayunan bandul yang masih bugar
kalian tidak pernah bernafsu
untuk mengutip bekalan pulang

dan
bila bandul jam mula berhenti
tuhan tidak lagi memperdulikan
tembok diri yang kian meretak

fauzirashid
29.7.10

25 Julai 2010

Pada Sebuah Perubahan

pada gerak meniti
titik-titik perubahan
kita sering diuja dengan
wajah tuhan yang
diukir syaitan

makanya kita sering terpesona
terkinja-kinja dengan taqlid buta
membenarkan fitnah dan tohmah
memasuki pintu setiap rumah
sedang kita sering alpa dan lupa
dugaan tuhan pada sebuah perubahan

kitapun asyik menelaah
setiap rekaan dari sasterawan iblis

kita tidak lagi mampu
untuk menjadi diri kita sendiri...

fauzirashid
asar
25.7.10

23 Julai 2010

Persetiaan

i
dara
belai rambutku
dengan jari jemarimu
semuga berteduh rinduku
mengusap bibir persetiaan
di kotamu kutinggalkan

ii
uda
di pelabuhan nanti
diturut jangan lambai tangan
gemalai kecil dan lampu-lampu


fauzirashid
(himpunan puisi Belon-belon - GSL)
23 jun 1985

13 Julai 2010

TV Jam 8

Saban malam dibentangnya fitnah
dan episod-episod rekaan
dengan penyertaan puak sebelah
asyik-asyik
kelantan. pulau pinang. selangor. kedah
perak sudah soh dari drama cemuhan

suara sebelah pihak
tiada langsung ada kesempatan
untuk mereka
membela diri

penguasa pembuli itu
menggunakan apa saja
dihalalnya apa jua
suara-suara minoriti yang membodek
disiar
mereka pencari rezeki tanpa mahu membanting tulang

dan
bajingan-bajingan munafik pun mengutip dana
dari warkah kepalsuan diri

tv jam lapan dikuasai manusia bacul
tak mampu bersaing di padang terbuka

apakah mereka manusia malaikat
betul semua perkara
bagaimana dengan apco, altantuya dan 77 juta?
bagaimana dengan pkfz, scopene dan kapal selam yang timbul?
bagaimana dengan pasir di negeri sembilan dan johor?
bagaimana dengan rezab bilion tinggal 200 juta dalam felda?
bagaimana pulau putih menjadi mata putih?
bagaimana air murah untuk singapura?
bukankah itu ditangan sibahlol
yang gadai kuasa
untuk gadai negara
togok wang sepanjang masa

padahal mereka dari kelompok bangsat
kroni penyangak kuasa untuk togok wang
tak mampu berhujah
tak mampu memberi alasan
guna polis guna hakim guna sprm
mereka mahu kuasa.. togok wang
anak bini dan kroni

fauzirashid

03 Julai 2010

Bola Itu Adalah.....

(bola itu ibarat sebutir dunia
yang tak henti kau hambat)

lalu kulihat mereka
asyik menghambat sebutir dunia
tak henti-henti di padang hijau yang rata
di bawah sinaran lampu dan
jeritan pengurus yang gila

mereka membentes dan dibentes
tak henti-henti cuba meloloskan hidup
lalu melepaskan ledakan diri
dengan kudrat jasad yang ada

alangkah baiknya kalau
setiap jiwa mereka
kau serahkan saja sebutir cinta
tidak lagi mereka terkinja-kinja
dalam sorakan penjudi yang mabuk
di awal pagi dan
senja

fauzirashid

Belum bertajuk

  Di sangkak tradisi Dieramnya generasi buat menyambung legasi Menetaslah wajah-wajah baru dari kehangatan kasih