30 Ogos 2010

Isu Teo Nie Ching

bila
binatang itu
sudah mula mengelepar kepanasan
awas kalian
tendangan putus nyawanya
bisa mematahkan tulang kering kalian

oleh itu
waspadalah
jangan sekali-kali
dekatinya lagi

biarkan ia terus
mengelepar dan
biarkan ia putus nyawa
dihentak bandul kematian
mati meragan

jangan lagi dilayan....

fauzirashid

28 Ogos 2010

Bandul Perkauman

kabilah jahiliah itu sedang
memainkan bandul perkauman
sehingga sangup mengubah hukum halal haram
mahupun fatwa mereka sendiri

mereka heret semua
rakyat jelata mahupun sang raja
melalui kaedah adu domba
dalam media tunggangan

apakah kita masih buta
atau perlu tertipu
dengan cara mereka yang
ibarat cacing kepanasan?

fauzirashid

21 Ogos 2010

Tanpa Tajuk

aku tidak pernah membayangkan betapa
ada yang sanggup melagang fitnah perdana
sempena bulan kita berpuasa

mereka menjadi gila hanya kerana
sebentar lagi mereka akan diregut dari tahta
yang mereka guna untuk gasak dan sapu
segala yang ada

mereka bukan sahaja sanggup mengheret
segala institusi yang ada
malah turut memalitkan agama tuntutan nenek moyang kami

mereka telah sanggup sesat sampai ketahap ini
mengapa...

fauzirashid
21.8.10

15 Ogos 2010

Ibu Yang Agung

i.
dikejarnya fatamogana
dari bukit saffa dan marwah
tujuh kali ulang alik mencari air
dalam kelelahan dan kering padang pasir
diruntun anakanda Ismail yang menangis dan menangis

Tuhan merasai degup keibuan agung si Hajar yang pasrah
mencari air dengan tetek yang kosong. perut yang keroncong

kun fayakun...
Tuhan menerbitkan air dari hentakan kaki si anak. mudah bagi Tuhan
telah membunga kesyukuran di hati si ibu

syukran.syukran.syukran
jerit suara batin si ibu
lalu si Ismail yang comel berhenti menangis

dan...
zam-zam. zam-zam. zam-zam. mengalir
dan terus mengalir
tanpa kering lagi
sehingga kiamat

ii.
kini
kulihat bayi dihurung semut
di dalam tong sampah yang berulat
ke mana 'si hajar?'

malah
ada bayi yang diblender
sudah gilakah 'si hajar?'

ah...
aku sudah tidak lagi sanggup
meneruskan puisi ini...

fauzirashid
5 ramadhan 1431

11 Ogos 2010

Ramadhan

i.
senja itu dalam debur ombak
kami menyuluh pintu langit di ufuk
mencari-carimu Ramadhan

ii.
telah kami temui
segaris cahaya bening
tanda engkau sudi
menjengah kami di sini

iii.
anak kecilku menggumit

"sahaja aku berpuaca
pada ecok hari
fardhu bulan ramadhan
kerna Allah Taala"

fauzirashid
(selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak)

08 Ogos 2010

Kurenong Dalam Diri

aku ke sini mengumit mentera diri
bersimpuh dan berteleku aku
menelaah langkah silam
yang sering tersasar dari jalanMu...Tuhan

lantas aku di sini menggenggam tasbihMu...Tuhan
dipersaksikan tiang masjid tua dan
helaian sejadah yang berdebu

kucari nota-notaMu Tuhan
pada dinding yang kian meretak
lantas dadaku sebak dengan
nafas hidup yang kian sesak

Tuhan
izinkan aku mendekatiMu
melangkah takdir dengan
bandulMu yang masih lagi berayun
dengan detik detak jarum hidup

fauzirashid
RamadhanMu kian hampir...Syukur andainya
RamadhanMu dapat lagi kutemui
Kepada sahabat...selamat menyambut Ramadhan AlMubarak

05 Ogos 2010

Tanda Soal

dengan tujahan bilah gerimis
kurentas dingin subuh
melangkah deretan neon
yang panjang

di lorong yang berliku itu
kuusung sepuntung tanda soal
yang melengkong di lubuk diri
menanti jawaban-jawaban yang
pasti belum bisa bertandang

dalam rentak alunan syahdu
serbok azan yang
dibungkus embun di hujung lenggok daun
aku terus melangkah
ke rumah tuhan
mengusung berberkas lagi
tanda soal yang kian melengkong
dihempap tembok diri
ku yang rebah

fauzirashid

01 Ogos 2010

Dia Bukan Petualang

dia bukan petualang
tapi adalah seorang pejuang
yang digeruni benar oleh petualang yang berkuasa

dia bukan petualang
tapi rela turun berpencak di tengah gelanggang
untuk membela manusia kita yang marhein

dia bukan petualang
hanya kalau...
pak menteri ribut menyebarkan dia petualang
tapi kerna mereka kecut
jika 'sipetualang' itu menggenggam kuasa
mereka akan tersumbat ke penjara
kerna 'kepertualangan' mereka
selama ini

aku yakin...
dia bukan petualang
tapi pejuang
yang pasrah menanggong risiko

fauzirashid