30 Jun 2009

Puisi Pada Pintu

i
saban waktu
rezeki masuk dan pergi

ii
dibendul itu
seorang ibu tua duduk menanti
anaknya tak kembali..

iii
menutup kepalsuan
membiarkan kebenaran bertamu

iv
diapun mengizinkan
kalau kau sudi bertandang

fauzirashid
30.6.09

28 Jun 2009

Puisi Pada Pintu Surau

jemaah masuk surau
tutup pintu bila keluar
nanti kucing masuk kencing!!!

fauzirashid
30.5.09
surau fasa 1a

26 Jun 2009

Rintihan di Tateyama

mahu kubina sebuah mahligai
di bukit tinggi ini. setinggimu tateyama
dikelilingi bersih salji. dakapan nurani

tapi tateyama…
ku perlu bisikan dari mu
siapa…
siapa yang mahu bersamaku
tinggal bersamamu
menghuni putih suci

fauzirashid
(Puisi ini ditulis di dalam buku alpine route tateyama and kurobe- yang kubeli semasa melawat tateyama 10.6.87 –Rabu)

25 Jun 2009

Secalit Bulan

pada langit mendung ada secalit bulan murung
rintihnya menjadi gerimis
membasah serbuk azan yang kaulaung. kudengar sedu dan tangis

pada senja yang melata
ada segerombolan gergasi dihujung mega. merah menyala
secalit bulan kian murung
rintihnya kian menjadi gerimis. kian kudengar sedu dan tangis

bila malam bertamu
bulanku termanggu lemah dan lesu
secalit cuma dilaut mega
rintihnya terus menjadi gerimis. terus kudengar sedu dan tangis

fauzirashid
25.6.09
manjung

24 Jun 2009

Kesunyian II

kadang-kadang aku hanya
sekelungsung diri
tanpa inti
menganga dan lompong
umpama gaung

kadang-kadang aku mengalir
umpama air terlalu cair
tercari-cari
pantai dan pepasir

kalau engkau mengerti

fauzirashid
magome ryo
24.9.87

23 Jun 2009

Perubahan

jika mereka mahu berubah
tak bisa lagi kau fitnah
sekalipun kau rasuah
mereka tetapkan berhijrah

fauzirashid
22.6.09

22 Jun 2009

Malapetaka

malam akan membuka dendam
menjunamkan berjuta panah tajam
ke mukaku ke mukamu dan ke muka-muka
ke dadaku ke dadamu dan ke dada-dada
kita semua

kita akan ditimbus sekejap lagi
tanpa bayang-bayang sebagai teman
akan lemaslah kita di bawah bungkah-bungkah
pertanyaan

kan mengalirlah darah. bumi membasah.

malam takkan memberi pedoman
kita tetap akan dibungkus
lalu dilonggokkan ke lereng gaung

fauzirashid
puisi asal ditulis pada 25.9.87 -tokyo
dibuat sedikit ubahan pada 22.5.09 - manjung

19 Jun 2009

Pelangi Kita

dibawah gurihanmu yang jingga
biar bersemi gurisanku yang biru
agar ia menjadi lingkaran pelangi
yang kita jinjing bersama ke angkasa tinggi

kan melengkunglah tujuh warna menyimbah cahaya
dari gunung ke gunung kita
biarkan kepulan awam meniti
biarkan beburung menyepi dan menyanyi

dan
di bawahnya biar anak-anak kita yang comel
berlari-larian dengan belon kecil ditangan
pada belon-belon itu
hendaknya menguntum warna pelangi kita
kan kekal selama-lamanya

fauzirashid
19.6.09

17 Jun 2009

Merah Senja. Tak Siapa Peduli

alangkah ngerinya menatap merah senja
dengan syaitan-syaitan menjadi pelakon di langit
menuding kuku tajam ke segenap penjuru alam
menjaja waktu dengan fitnah dan palsu

gemunungku adalah
raksaksa yang bertapa
mengeram butiran dendam ke malam

tak siapa peduli
serbuk azan menjadi debu hitam
bertaburan di jalanan tak siapa kasihan

lautku mengalir darah
menghempas senja merah
ke batu basah

tak siapa peduli
senja menikam beburung kebebasan
meninggalkan anak menganga di dahan

sasterawanku menumpulkan pena
mempersetankan naluri diri
memadamkan rintihan jelata
kerna anugerah
lebih mahal dari maruah

merah senja kian menghitam
kita dari kelompok manusia bacul
pun kian tergamam

fauzirashid
maghrib
kpm
21.4.2000

13 Jun 2009

Kematian

bukan...
bukan kematian itu pengakhir jalan
tapi satu langkah setapak ke hadapan
di sana kau menanti saat nya yang pasti

fauzirashid
13.6.09
buat ibu saudaraku wan timah yang meninggal hari ini. alfatihah

10 Jun 2009

Heiwajima Eki – Keihinjima Sanbanchi

di steysen
keretapi memuntahkan manusia
yang memburu kehidupan
kulintas sebuah jejambat gagah bersama langkah kalian

di perhentian
seorang gadis sekolah lewat penat menghambat masa depan
kaki-kaki melatam jalan aspal tanpa henti

bas no 24 atau 54 atau 36 membuka pintu
kita beratur ditelan penuh restu
bas yang sarat – berangkat
di bangku muka-muka basi membuka tirai mimpi

seorang gadis menjeling aku dibirai mimpinya itukah?

kehidupan yang penuh lelah. itulah sebuah kehidupan di sini
betapa misti . untuk bersama pada paras yang tinggi

keihinjima sanbanchi
aku yang bergayut, keluar dari kesiksaan yang sempit ini
menghayun langkah mencanai waktu dengan
kerja-kerja yang tak bisa kulangsaikan

fauzirashid
di site shimizu gomi kojo
23.7.87

08 Jun 2009

Seekers

sepatutnya
kita mencari tuhan
tapi
kalian mencari setan

fauzirashid
24.5.09

07 Jun 2009

Nesan II

disedarinya
dia tak upaya bergerak ke mana-mana lagi
terlalu berat didadanya gunian rahsia
yang beku menunggu saat cair

kini dia hanya berdiri kaku
menanti saat-saat itu
yang kian hampir

fauzirashid
pagi yang sejuk site keihinjima
22.10.87

06 Jun 2009

Maafkan Aku

hampir saban malam kubuka jendelamu
dengan nafsu birahi kunikmati kuntum-kuntum puisimu yang cantik
di sini kubisikkan kepadamu. sering dicelah kelopak puisimu itu
aku terkapai-kapai membuka lembaran-lembaran
mencari sesuatu yang tak kutemui. dan membikin aku kian tidak mengerti

dan bila
meraba-raba kelopak puisimu. di dada
aku kian termanggu.. kian tersipu. kadang termalu.
namun kian merindui pasti
puisimu jua kucari

bila kunikmati rekahan dipuisimu itu
kutemui birahi kenikmatan yang tertinggi yang tidakku mengerti
namun tetap kuulangi
saban malam pasti
puisimu membawa ku bermimpi
maafkan aku tanpa kerelaanmu kupasti
maafkan aku…


fauzirashid
4.6.09
Malam yang hening

04 Jun 2009

Perjuangan Wirawan dan Kita

setelah
meletakkan bungkah tulang dan saraf tunjang perjuangan
ke tempatnya semula
wirawan pun melangkah gagah umpama laksamana
berpencak dengan keris taming sari ditangan
setelah enam musim dipertapaan gua keramat
ah….Wirawan sebenarnya kian hebat

tetapi
kalian masih membingungkan diri
berdiri di belakang jeriji besi rekaan sendiri memerhati
terkunci di penjara tembok batu nafsu

ah! tiba-tiba saja kita menjadi pengecut
dengan pelbagai alasan rekaan

apakah kalian sudah menyesal
dengan kesedaran kalian selama ini
atau kalian telah diletihkan oleh waktu dan puisi-puisi di tivi
lantas kalian membuat kesimpulan:
bahawa keadilan sebenarnya akan ditewaskan
bahawa kezaliman akan tertegak megah menongkat langit ?

tidakkah kalian mendapat isyarat?
bahawa wirawan akan membuka silat

fauzirashid
10.10.04

03 Jun 2009

Puisi Itu

puisi adalah
bungkah-bungkah yang kugubah
menerjah awan gemawan dilangit membiru itu

pun jua adalah
sekuntum pelangi yang kau lihat
melengkong senja
dari gunung ke gunung

puisi itu jua adalah
belon-belon yang dipegang anak kecil
pelbagai warna dijalanan pesta besar

dan puisi bisa jadi
dari langit senja nan ngeri
dari ombak memukul batuan zaman
dari beburung terbang pulang berkawan-kawan

fauzirashid
7.4.09
kiriman buat cryta

Belum bertajuk

  Di sangkak tradisi Dieramnya generasi buat menyambung legasi Menetaslah wajah-wajah baru dari kehangatan kasih