31 Ogos 2009

Disetiap Hembusan Nafasku

telah kumasuki ambang kedua
ramadhanMu ya Tuhan
disetiap hembusan nafasku
kucarimu ya Rahman

kudamba ampunanMu
disetiap detik waktu
yang Kau izinkan untuku
hanya untukMu ya Rohim

setiap gerak diri hidupku
berdiriku, rukukku, dudukku hanya
untuk sujud kepadaMu ya Wadud

dan di sejadahMu kumenengadah
hanya di tanganMu ya Allah
tempatku pasrah

ampuni segala dosaku
ya Azziz, ya Jabbar, ya Muntaqim
menangis kubertaubat pada MU
hanya Kau kurindu

fauzirashid
12 ramadhan 1430
2.9.09

26 Ogos 2009

Pedati Dan Kehidupan

petang pergi
pagi datang
petang pergi
pagi datang

umpama pedati
kehidupan itu

kadang melatam kerikil tajam
kadang menghentam dedinding legam

umpama pedati
malam berhenti
di pohon beringin
di rempuh angin

pagi pergi
petang datang
usia mereput
digigit siput

fauzirashid
30.10.87

25 Ogos 2009

Nafsu

musuh qolbu
nombor satu
nafsu

adalah binatang
menerajang
kau ke jurang

fauzirashid
25.8.09

23 Ogos 2009

Di Maktabmu Ramadhan

telah aku mendaftar
menjadi pelajar
menghuni sebuah kamar
maktab ramadhan

kusambung kuliah
kubelek nota-nota
selembar demi selembar kukutip keyakinan
menghafal arah tuju

semuga
aku mendapat CGPA tertinggi
menemukan aku
satu malam
dengan kilatan mutiara barakah
ijazah pada semua ijazah...

fauzirashid
kolej ke2
Maktab Ramadhan
1430H

22 Ogos 2009

Mencari Gula

kami pun beratur mahu beli gula
(beli gula pun kami terpaksa buang masa)
sekilo cuma kata mereka
tak apalah..

bila buka puasa
ingin canai kuih
makan sama-sama kalau boleh

bila sampai dikaunta
kata tokeh
gula habih

"ini negara tycoon yang punya..."

ada kuasa tak jadi apa
ini ketua tycoon yang biaya

kami beratur lagi
ingin cari gula
mahu buat dadih
minum sama-sama kalau boleh

bila sampai dikaunta
kata tokeh
gula habih

sah
ini negara tycoon yang punya!

fauzirashid
(kami beratur untuk dapat sekilo gula. beratur panjang di market super. kedai runcit langsung tak mandang. kata mereka orang sorok. orang seludup. berapa banyak orang boleh sorok? orang boleh seludup berapa banyak? melainkan tycoon sorok. nanti naik harga..pasti gula belonggok.)
22.8.09

20 Ogos 2009

Menjelang Ramadhan 1430

Tuhan
kami di sini di pantai ini mencari ramadhanMU
dengan rukhyah hilal seperti yang kau tetapkan untuk kami
kerna mungkin Kau batalkan hisab
terkaan-terkaan ilmu yang seluruhnya dalam arashMU

Tuhan
andai tidak Kauizinkan
hari ini (kau betulkan hisab kami)
pohonlah esok kami temui jua
magfirahMU
ampunanMU
dan rahmatMU
yang sangat kami damba

Tuhan
Tuhan
Oo Tuhan
Kau ciptakan kami
Kau cucuri rahmatMU
kami syukur jadi hambaMU
dapat imarahkan ramadhan bulan ciptaanMU
seperenggan waktu cuma dalam rangkap hidup kami

Ooo Tuhan

fauzirashid
(bulan tak nampak. puasa pada hari sabtu 21.8.09)
20.8.09

18 Ogos 2009

Sudikah

aku berenang
di lautan rindu
mencarimu selalu

kalau-kalau kau ada dipantai cinta
sudikah kau menunggu kutiba

fauzirashid
manjung
18.8.09

17 Ogos 2009

Interaksi

i
terlalu menyiksakan
berada di ruang yang berbeda
demi mahu menyatakan atau ingin tahu
mengisi waktu lewat begitu kesat

sebenarnya kumengerti
interaksi itu terbatas bukan keinginan perasaan begitu
mahupun aku atau kalian tetapi oleh getaran
bunyi yang berbeda
interaksi menjadi nil.

kadang-kadang kita sentiasa mencari waktu
untuk mata tidak bertemu

ii
di sini
waktu begini
kamus adalah rakan setiaku

iii
suatu waktu
aku perlu tahu sesuatu itu
lalu sepenuh tenaga kutukarkan ianya ke bahasamu
pastipun terlalu sumbing namun engkau mengerti tetapi

ketika engkau meluahkan penerangan dari mulutmu
ianya kulihat seperti segumpal asap rokok
yang berkali-kali kau hembuskan ke mukaku
lalu ianya meresap ke dalam pori-poriku
menjadi jerawat
interaksi nil....

fauzirashid
site keihinjima
22.7.87

15 Ogos 2009

Sebenarnya

sebenarnya
kaulah pengkhianat
yang sebenarnya mengkhianat

mengebas tanah kami
mencekup bebas kami

fauzirashid
(untuk mereka yang berhimpun, dengan gah sesuka hati tanpa mengerti, depan tv, menyalak laungan khianat, dalam perhimpunan yang mereka katakan aman)
12.8.09

13 Ogos 2009

Lampu Isyarat Kehidupan

saban hari kita dalam kelesuan
memandu hidup di jalan berliku
pada lampu merah persimpangan
jangan kau teruskan pecutan
kita berhenti di aspal panas menghela nafas
bertafakur mendengar nyanyian segar
sebelum berangkat dengan kalimat

sebentar hijau kan menebar
kita bakal kembali dengan bekal diri
dipersimpangan kau harus paksikan tujuan
mahu ke mana kalian ?
mengheret cangkir kehidupan

awas
pada kuning waspada
jangan kau alpa

fauzirashid
(pulang dari kantor)
14.8.09

12 Ogos 2009

Anakku & Buih Sabun

kubeli buih sabun
ditiup anakku menjadi belon
beribu-ribu belon

di dalam belon anakku itu
ada kuntuman pelangi
naik tinggi dan tinggi
sampai tak dilihatnya lagi

ditiupnya lagi buih sabun
lalu ianya menjadi belon
bersama kuntuman pelangi
naik tinggi dan tinggi

bila anakku meruntun
kubelikan lagi buih sabun
untuk ditiup menjadi belon
beribu-ribu belon
naik tinggi dan tinggi
dengan warna dan warni
kuntuman pelangi

fauzirashid
12.8.09

10 Ogos 2009

Kepada Kau

hampir setiap hari aku kini sibuk
dengan kerja-kerja melarik sepasang batu
untuk kujadikan batu nisan
dengan ukiran warisan
menjadi kenang-kenangan waktu depan

pada mukanya
siap kularik namamu
dan tarikh kelahiran
cuma yang masih belum kubereskan
tarikh kematianmu yang kutunggu

ayuh saudaraku
buatlah tempahan awal
batu nesanmu dari batuan tempatan
pada hujung nyawamu nanti
ada waris yang akan membayar
harga sepasang batu nisanmu yang kuukir
dengan rapi dan tradisi


fauzirashid
10.8.09

09 Ogos 2009

Kuliah

solat itu hablumminallah
zakat itu hablumminannas

itulah nar yang sebenar

fauzirashid
(hari jadi aku. syukur kepada MU)
9.8.09

06 Ogos 2009

Aku Adi Kuasa

hidup melayu. hidup melayu. hidup melayu.
aku saja melayu yang hidup
yang lain pergi mampos
yang lain kusumbat ke penjara
jangan kau coba

hidup melayu. hidup melayu.
aku saja melayu yang hidup
yang lain pergi jahanam
yang lain tak pernah faham
aku adi kuasa

hidup melayu.
aku saja melayu yang hidup
jangan kau coba
akulah adi kuasa
yang lain pergi jahanam
pergi mampos

fauzirashid
2.8.09

03 Ogos 2009

Lamaran

izinkan aku
menyarung kuntuman rindu
ke jejari halus kasihmu

agar bertautan dua jiwa
pada daunan waktu
kau dan aku

fauzirashid
3.8.09

02 Ogos 2009

Izinkan Aku Hidup

dengan runtunan diri
kucarik dinding kepompong
kulontarkan sesungut
menghidu dingin pagi
menatap daunan muda
dan kumtuman bunga
ooo... tuhan

kau angin
yang baru kukenal
biar ku bertatih sayap
sebentar cuma
menuju pelangi
bermain gerimis
biruan langit
ooo... tuhan

duhai daunan
biarkan aku singgah di dadamu
sebentar cuma
melepaskan lelah
langkahku yang salah
ooo... tuhan

duhai bunga
izinkan kusentuh kelopakmu
sebentar cuma
menghirup madumu
menyambung nyawa
ooo... tuhan

duhai kucing
simpankan kukumu
sebentar cuma
duhai beburung
perhatikan ku di dahan
izinkan aku sebentar cuma
terbang ke awan
menghirup nyaman ciptaan
ooo... tuhan

fauzirashid
manjung
(suara anak kupu-kupu, yang menghuni kamarku sedikit masa dulu)
2.8.09

Belum bertajuk

  Di sangkak tradisi Dieramnya generasi buat menyambung legasi Menetaslah wajah-wajah baru dari kehangatan kasih