29 Julai 2009

Di Shekudor

dihadapan mu di dalam dulang itu
ada sepinggan rindu anakmu untuk kau makan
semangkuk kesetiaan dan cinta isterimu
untuk kau hirup

fauzirashid
AOTS Senjuadachiku, Tokyo
10.11.87

28 Julai 2009

Kepastian

dengan sebatang tongkat
akupun berangkat
mencari kepastian diri
kekal abadi

kalau kau mengerti

fauzirashid
28.7.09

27 Julai 2009

Kematian2

telah
kau temui titik noktah
dan waktumu
kini membeku

kau pergi jua
tinggalkan kami
jasadmu telah kami semadi
semangatmu menjadi api
baranya didada kami

fauzirashid
(khas mengenang abang Ghafar yang kembali kerahmatullah malam semalam dan selamat dikebumikan jam 11.00 pagi ini.)
27.7.09

25 Julai 2009

Jambatan

kau janjikan jambatan di manik urai
setelah kau kalah
kau pergi tanpa kata sepatah

maafkan kami
apakah perlu kami junjung kau menang
barulah jambatan hidup kami kau bentang

tapi hari ini kami mengerti
jejambat yang telah kau bina bukan di manik urai
adalah jambatan retak
yang mengancam nyawa kami
saban hari

fauzirashid
24.7.09

24 Julai 2009

Puncak Tateyama

yang ada
langit biru
salji putih
lekok-lekok bukit

di dada biru langit
ada bulan siang
matahari bening

di dada putih salji
ada tapak beburung
kilauan manik air

fauzirashid
kenangan di puncak tateyama jam 5pagi
yang sekali saja bisa aku kecapi...
22.10.87

23 Julai 2009

Betapa

sanggup kau talkin itu beng hock
dia mahu kawin pagi besok

fauzirashid
20.7.09

22 Julai 2009

Bertamu

kuketuk pintumu
tak sangka kaupun sudi
membuka pintu hati
akupun masuk bertamu

sambil menikmati secawan kopi
kubicarakan tentang perjalanan
kau bicara tentang kehidupan
duduk berdua dibangku tamu
kita menyentuh itu dan ini
asyik sekali

terus kuteguk kopimu itu
di dalam cawanmu yang retak seribu
ada wajahku yang mengintai
ada wajahmu yang menyeringai

kukira kita sama-sama
mengerti...

fauzirashid
21.7.09

20 Julai 2009

Cobekan Kertas Kecil

dicobikan kertas kecil
kutulis nota
bagaimana menyusun kotak-kotak
dan menggali lubang,
mendengar bunyi air

akan kubentang jalan
dari susunan kerikil pengalaman
di pinggir jalan itu
biar kubina sebuah rumah kita
dengan sentuhan dan masin peluh

fauzirashid
28.10.87

19 Julai 2009

Puisi Untuk Beng Hock

ribuan lilin untukmu beng hock
sekadar itu kau pergi membawa misteri
sebuah kematian

api lilinmu terus membakar
menerangi pekat malam
setiap ingatan dan tangisan kematianmu itu
ada anjing-anjing suruhan menyalak dan menggigit
kukira mahu mematikan api kematianmu itu

kata mereka
"semua perlu tenang. biar dubuk
memeriksa tubuh beng bock
tak perlu suruhanjaya. cukup pasukan dubuk
nanti apa jadinya kau perlu akur saja"

namun kematianmu beng hock
bukan penghujung sebuah perjalanan
tapi selekoh sebuah perubahan

lilin beng hock terus menyala
anjing dan dubuk mengharuk
menutup jasad kebenaran
dengan kapan kepalsuan

fauzirashid
18.7.09

17 Julai 2009

Kematian

kematian
itu pemergian
setapak lagi
menuju abadi

fauzirashid
(buat mengingati kakak saudaraku faezah yang kembali kerahmatullah hari ini jam 2.30 pagi)
17.7.09

Musim Luruh

hujan renyai di pagi itu
adalah airmata dedaunan
meninggalkan dedahan kekasih

musimnya telah sampai
pemergian pedih
angin meniupkan laguan rindu
langit menyaksikan dengan muka muram

bumi kian basah
rerumput kian resah
musimnya telah sampai
untuk berpisah

fauzirashid
24.10.87

15 Julai 2009

Rajuk

sebentar ku kan pergi
bersama puisi yang luka

kerna tiada guna ku di sini
cuba berbicara saban hari
tak jua kau dengari

biar kupergi
jangan lagi kau tanyai…

fauzirashid
27.6.09

12 Julai 2009

Puisi Untuk Matsumoto

kekadang aku
berdiri di celah bulu matamu
duduk berehat pada pipi gebumu
tertidur diombak dada mu
dan pabila bangun
aku kembali segar
getaran dalamanmu kudengar

kekadang aku
memasuki ke dalam tawamu
berbuai pada uraian rerambutmu
melangkah antara jari-jari halus
dan kuku-kukumu yang kau putihkan

dan
kekadang aku terjatuh
di atas skirtmu yang sendat pendek
berguling-guling antara bulat pinggul dan
kacipan peha gebumu
dan tanganku menggapai segala yang sempat di situ
menyelamatkan diriku
maafkan aku...


fauzirashid
25.8.87

Tiada Jua Kutemui

di kanvasku yang kau lihat itu
ada rona-rona kehidupan
jalan-jalan penuh hilalang
kuredah duri-duri menikam kaki
memanggil namamu saban hari

namun kau terus pergi...

dengan seberkas kunci kubuka pintu
mencari-cari serpihan rindu
kalau-kalau kau ada di situ

pintu demi pintu
kubuka dengan seberkas kunci
tiada jua kau kutemui

fauzirashid
12.7.09

10 Julai 2009

Pertanyaan

pada catatan bikinan dihujung salur galur laluanku itu
seekur garis melengkong tiba-tiba duduk mencangkung di atas sebutir noktah
entah mengapa gerangan ia musti meyibukkan diri duduk dihujung
tak lagi dapat kuteruskan bicara, terkedu kernanya
mencari jawaban yang tak pasti kutemui hingga kini

'lantas apa yang kau cari dalam hidup'
'gerangan apa kau harus terus menulis puisi dan puisi itu kau lontarkan untuk apa - untuk siapa'
tak dapat ku nyahkan ia tetap hadir berbondong-bondong
bisa mengheret ku perlahan-lahan ke gaung diri
namun kupasti... !
dialah yang sering kulihat duduk mencangkung
di atas sebutir noktah
dihujung degup jantung

fauzirashid
10.7.09

09 Julai 2009

Guru

sekolah...
di situ kau menumpah ilmu

rumah...
di situ kau mencurah rindu

saban waktu

fauzirashid
5.7.09

07 Julai 2009

05 Julai 2009

Menyanggah Dongengan si Darwin

tak pernah ku temui
seekurpun beruk kera
yang mampir jadi manusia
bulunya kian pupus
mula bertatih dan bertutur
keluar dari belantara
lalu pergi menghuni kota

tidak kita dari beruk kera
seperti dongengan itu

bahawa
kita ditempa Allah
dari air, dari angin, dari api, dari tanah

telah sujud malaikat
kecuali syaitan
dan seekur manusia sidarwin itu...

fauzirashid
5.7.09

04 Julai 2009

Mudah

mudah!
itu mahkamah

kau adukan saja
duburmu diteroka
dan kau bawa setitis lendir cuma

pasti…
musuhmu ke penjara
enam atau tujuh tahun lama

fauzirashid
3.7.09

02 Julai 2009

Monolog Sang Tilam

entah mengapa tetiba aku diusung sang keldai
bila kubertanya, dengan runsing mereka bersuara
‘kami hanya mengikut arahan sang anjing’

bila kubertanya ‘perlu apa ku diusung ke tempat asing?’
jawab sang anjing ‘ini arahan sang serigala yang bersiong tajam
penguasa sekelian alam’

kau biarkan aku terus termanggu berdiri
menunggu di kamar ini
katamu ‘akhirnya kebenaranku akan datang juga bertandang’

tapi sebentar kusedari
ada tompok kepalsuan
yang dulu kau percikkan ke dadaku
darahnya masih membasah di situ

fauzirashid
buat ogostinpol dan mengimbau bicara liwat
2.7.09

Belum bertajuk

  Di sangkak tradisi Dieramnya generasi buat menyambung legasi Menetaslah wajah-wajah baru dari kehangatan kasih